Badan bukan pemerintah (NGO) setempat, Humanity Matters, akan mengadakan pengumpulan dana serata negara pada 20 Disember untuk mendapatkan sumbangan derma demi membantu mangsa di Gaza.
Acara itu, yang akan diadakan sempena Hari Perpaduan Manusia Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), akan melibatkan 1,000 sukarelawan.
Ia merangkumi rakyat dan penduduk Singapura serta pekerja migran, yang akan turun padang membawa tin derma dan mengedarkan pelekat, ‘One Nation, One Humanity’, kepada orang awam.
Acara itu akan berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang.
Sejak Oktober 2023, Humanity Matters telah mengumpulkan lebih $1.9 juta dalam bentuk bantuan bagi mangsa konflik di Gaza.
Dari November 2023 hingga Ogos 2025, NGO itu telah menghantar lebih 84.4 tan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui lintasan Rafah, Kerem Shalom, Erez dan Zikim, di samping bantuan yang digugurkan dari udara.
Bekalan bantuan tersebut membantu menangani isu lapar dan dahaga, penjagaan kesihatan dan keperluan kebersihan orang awam yang terjejas di Gaza.
Humanity Matters telah mengadakan beberapa pengumpulan dana dan kegiatan untuk memberi sokongan kepada mangsa Gaza sebelum ini.
Ia termasuk pada Mac 2024 apabila Presiden Tharman Shanmugaratnam, menyaksikan sumbangan dihulurkan daripada dewan perniagaan dan perusahaan pelbagai etnik di Singapura.
Sementara itu, pada Mac 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, membantu membungkus 5,000 Kidz Comfort Packs untuk Gaza.
Timbalan Pengerusi Humanity Matters, Encik Noor Mohamed Marican, berkata badan tersebut mengingati sumbangan ribuan orang, tidak kira kaum, bangsa, budaya atau kerjaya, yang tampil dan bekerjasama bagi tujuan kemanusiaan.
Ia termasuk dalam membantu mengumpulkan dana, membungkus bekalan bantuan, memberikan sokongan logistik dan sebagainya.
“Rahmat sebegini memberi kita harapan dan inspirasi untuk terus matang sebagai sebuah negara yang berbelas ihsan, berbudi pekerti, bersatu padu dan membina – menyayangi dan mengambil berat tentang jiran kita (di antara dan di sekeliling kita).
“Humanity Matters sentiasa mengingatkan sukarelawan kita bahawa konflik Israel-Hamas adalah sangat kompleks yang melibatkan pelbagai dimensi dan dinamik.
“Walau apa pun, apa yang paling penting adalah kita mesti kekal bersatu dan berbelas ihsan,” kata beliau.
Maklumat lanjut mengenai pengumpulan dana pada 20 Disember itu boleh didapati di laman web, www.humanitymatters.org.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg