Pertubuhan bukan untung Singapura, Humanity Matters (HM) telah menghantar tiga bekalan bahan bantuan kemanusiaan bagi mangsa di Gaza sehingga April.
Bekalan bahan bantuan kemanusiaan ketiga seberat enam tan bagi mangsa di Gaza telah dihantar pada 24 April, menurut laporan Berita Harian (BH).
BH melaporkan bahawa bekalan bernilai sekitar AS$100,000 ($136,000) itu mengandungi bahan makanan dan bahan keperluan kesihatan, bekalan penghidratan serta bahan pembersihan.
Sebelum ini, badan amal silang agama itu telah menganjurkan sebanyak dua penghantaran bahan keperluan kemanusiaan ke Gaza.
Bekalan pertama, iaitu bekalan perubatan seberat 9.5 tan, dihantar pada November 2023 dan yang kedua, iaitu bekalan bahan makanan dan keperluan lain seberat 40 tan, dihantar pada lewat Mac lalu.
Sejak 8 Mac, Humanity Matters telah menerima ikrar dan derma lebih $350,000 dan telah mengirimkan hampir $250,000 sebagai bantuan ke daerah yang dilanda perang di Gaza, lapor BH.
Sebelumnya pada 15 November 2023, Humanity Matters dilaporkan berjaya menerima 9.5 tan kargo bantuan di Kahirah, Mesir, bernilai $215,000 dari Singapura untuk diserahkan kepada pihak badan kemanusiaan di Rafah.
Sebahagian besar bantuan makanan – sekitar 25 tan secara keseluruhan – telah dikirimkan menerusi lapangan udara pada 27 Mac dan 28 Mac di kawasan Gaza yang dilanda perang.
Baki 11 tan makanan pula dihantar melalui darat, menerusi persimpangan Kerem Shalom di sempadan yang melintasi Jaluran Gaza, Israel dan Mesir.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg