Sebanyak $50,000 disumbang oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat huraian logistik MES Group, Encik Mohamed Abdul Jaleel, bagi usaha mengumpul dana kemanusiaan buat Gaza, Palestin yang dijalankan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Cek tersebut diserahkan kepada CEO RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, sewaktu Simposium India Muslim di Hab Islam Singapura pada 21 September, sambil disaksikan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Pengerusi RLAF, Encik Abdul Razak Maricar.
Dalam satu hantaran Facebook yang dimuat naik RLAF, pertubuhan itu meluahkan penghargaan sambil berkata sumbangan tersebut akan banyak membantu dalam menyediakan bantuan kemanusiaan dan meringankan beban penduduk Gaza yang terjejas.
Sewaktu simposium tersebut, Dr Faishal turut menceritakan pengalamannya sewaktu solat Jumaat di Masjid Jamae Chulia, yang mana beliau menghargai sifat murah hati masyarakat serta relawan berdedikasi di sana, serta di semua masjid di Singapura.
Ini menunjukkan peranan penting masyarakat dalam menyokong usaha bantuan kemanusiaan RLAF bagi Gaza, kata Dr Faishal lagi.
Sebagai sebahagian kempen ‘Bantuan Kemanusiaan untuk Gaza 2024’, atau Humanitarian Aid for Gaza 2024, orang ramai boleh membuat sumbangan melalui kotak derma yang diletakkan di masjid seluruh Singapura hingga 26 September 2024.
Kempen yang akan berlangsung hingga 13 Disember itu juga menerima sumbangan dalam talian.
Menurut laporan sebelum ini, ia adalah julung-julung kalinya RLAF bekerjasama dengan beberapa pertubuhan untuk melancarkan satu daya usaha pengumpulan dana bagi menawarkan bahan bantuan kritikal kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas ekoran krisis di Gaza.
Daya usaha itu dikendali bersama Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Amal Hashemite Jordan (JHCO), serta badan kemanusiaan silang agama tempatan, Humanity Matters (HM).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg