Persatuan Bangladesh Singapura (SBS) menyampaikan sumbangan sebanyak $7,000 kepada Humanity Matters (HM) pada 25 September untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan bagi masyarakat yang dilanda banjir di Bangladesh.
HM sebelum ini telah mengerahkan pasukan respons seramai 3 orang dan sistem rawatan air pada 5 September ke Bangladesh.
Bangladesh merupakan negara Asia Selatan yang paling teruk terjejas akibat monsun Ogos, menjejaskan lebih 5.2 juta orang.
Setakat ini, lebih 700 isi rumah sudah menerima bantuan makanan dan air minuman yang bersih untuk mengatasi masalah penghidratan dan kelaparan masyarakat yang terjejas.
Penasihat khas (kemanusiaan) HM, Encik Hassan Ahmad, yang mengetuai pasukan bantuan ke Bangladesh, berkata: “Kami sedang menyaksikan lebih banyak krisis kemanusiaan yang semakin teruk dari segi intensiti, kekerapan, skala dan skopnya.
“Lokasi yang tidak pernah dilanda banjir kini mengalami hujan lebat, banjir teruk, dan tanah runtuh. Kerosakan di Bangladesh sangat banyak dan lebih ramai orang yang perlu meninggalkan rumah mereka.”
Sebelum ini, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, telah melancarkan kutipan dana HM untuk Bangladesh, India dan Nepal (BIN Relief).
Ia berlangsung dari 3 September sehingga 15 Oktober 2024, dan sehingga kini, HM telah menerima dana berjumlah lebih $35,000.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg