Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: S’pura alu-alu perjanjian gencatan senjata Gaza, harap dilaksana sepenuhnya

Jan 18, 2025 | 1:35 PM
Hamas dan Israel telah bersetuju dengan gencatan senjata yang akan menghentikan perang di Gaza dan menghentikan konflik yang telah berlangsung selama 15 bulan.
Hamas dan Israel telah bersetuju dengan gencatan senjata yang akan menghentikan perang di Gaza dan menghentikan konflik yang telah berlangsung selama 15 bulan. - Foto AFP

Pengumuman gencatan senjata dan perjanjian pemulangan tebusan antara Hamas dan Israel disambut baik oleh Singapura, dengan harapan ia akan dilaksanakan sepenuhnya, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Walaupun ini hanya fasa pertama, kami berharap perjanjian ini akan dilaksanakan sepenuhnya, untuk memastikan penghentian kekejaman secara tetap, dan pembebasan semua tebusan,” kata PM Wong dalam satu kiriman Facebook pada 17 Januari.

“Secara khusus, kita perlu menghentikan krisis kemanusiaan yang buruk di Gaza dengan segera kerana keadaan di sana makin teruk.”

Beliau menambah bahawa Singapura dan rakyatnya telah menyumbang lebih daripada $19 juta dalam bentuk bantuan dan enam siri bantuan kepada rakyat Palestin setakat ini, dengan penghantaran bekalan kemanusiaan tambahan dirancang dalam minggu-minggu akan datang.

PM Wong berkata: “Singapura kekal teguh dalam sokongan kami terhadap penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

“Kededua rakyat Palestin dan Israel berhak untuk hidup sebagai jiran dalam keamanan, keselamatan, dan maruah.”

Di Baitulmakdis, Kabinet Israel telah meluluskan perjanjian dengan kumpulan Hamas, untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, kata pejabat Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, pada 18 Januari, sehari sebelum perjanjian itu dijadualkan bermula.

Pada awal pagi 18 Januari, selepas mesyuarat lebih enam jam, pemerintah Israel mengesahkan perjanjian itu, yang berpotensi untuk menamatkan perang yang telah berlangsung selama 15 bulan di Gaza, yang dikuasai oleh Hamas.

“Pemerintah telah meluluskan rangka kerja untuk pemulangan tebusan yang akan berkuat kuasa pada 19 Januari,” kata pejabat Netanyahu dalam satu kenyataan ringkas.

Di Gaza, pesawat perang Israel terus melancarkan serangan hebat sejak perjanjian gencatan senjata dipersetujui.

Para petugas perubatan di Gaza berkata serangan udara Israel awal pagi 18 Januari membunuh lima individu dalam khemah di kawasan Mawasi, barat Khan Younis, di selatan wilayah tersebut.

Ini menjadikan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan udara Israel meningkat kepada 119 sejak perjanjian diumumkan pada 15 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg