Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hutan dekat NTU bakal ditebas bagi peluasan Kawasan Inovasi Jurong

Jejas lebih 52 hektar hutan, anak sungai, habitat 56 spesies flora dan fauna
Dec 2, 2025 | 2:12 PM
CleanTech Park, forest, streams,  Jurong Innovation District
Kawasan berhutan di seberang CleanTech One, yang merangkumi hutan matang, anak sungai dan tumbuhan yang tumbuh semula di kawasan kampung terbiar, dijadualkan ditebas bagi peluasan Kawasan Inovasi Jurong (JID). - Foto ST

Lebih 52 hektar kawasan hutan dan anak sungai berhampiran Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dijadual dibangunkan bagi peluasan kawasan perindustrian di Jurong.

Kerja pembersihan tapak itu bakal dijalankan untuk pembangunan kawasan CleanTech Park dan Bahar yang berada dalam Kawasan Inovasi Jurong (JID) seluas 620 hektar.

JID merupakan hab perkilangan maju terdiri daripada lima kawasan yang sedang dibangunkan secara berperingkat sejak 2019, kata JTC Corporation pada 1 Disember.

Tapak projek seluas 116 hektar bagi CleanTech Park – yang akan menjadi taman perniagaan eko pertama di Singapura – terletak di sepanjang Jalan Bahar.

Kawasan Bahar juga terletak berhampiran CleanTech Park.

Dengan keluasan lebih besar daripada Taman Alam Semula Jadi Thomson, kawasan hutan itu merangkumi gabungan hutan matang, tumbuhan yang tumbuh semula di kawasan kampung dan ladang terbiar, serta anak sungai hutan, satu habitat yang jarang ditemui di sini dan sukar diwujudkan semula.

Sebanyak 56 spesies flora dan fauna untuk pemuliharaan dijangka terjejas, termasuk tenggiling Sunda yang sering diperdagangkan dan rama-rama harlequin, serangga berwarna perang kemerahan dengan tompok-tompok perak yang hampir pupus di Singapura.

The Straits Times (ST) menganggarkan saiz kawasan itu berdasarkan penilaian kesan alam sekitar yang dijalankan oleh JTC dan dibuka untuk perundingan awam pada 1 Disember.

Laporan tersebut, yang disediakan syarikat perunding Aecom Singapore, mengusulkan supaya sekitar 14.5 hektar kawasan alam semula jadi di sana dikekalkan sebagai taman.

Selain itu, ia turut menyarankan langkah lain untuk mengehadkan kerosakan alam sekitar akibat projek itu, yang menjejas salah satu koridor ekologi utama di sini.

Ruang itu akan mengekalkan satu-satunya lokasi pembiakan aktif bagi rama-rama harlequin di Singapura, serta melindungi pokok yang menjadi habitat kunang-kunang pteroptyx valida dan tempat bertenggek kelawar buluh yang diklasifikasikan sebagai mudah terdedah dengan bahaya.

Namun, menurut laporan itu, kehilangan keseluruhan hutan dan anak sungai di kawasan tersebut akan memberi kesan besar terhadap flora dan fauna yang hidup di sana, apabila digabungkan dengan projek lain yang sedang dijalankan.

Ini termasuk projek pembangunan bandar Tengah oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan stesen MRT berdekatan.

Kawasan projek itu menembusi salah satu daripada empat koridor ekologi utama Singapura, iaitu rangkaian kawasan hutan di mana haiwan bergerak antara hutan Kawasan Tadahan Barat dengan hutan Tengah.

Menurut laporan itu, kehilangan koridor tersebut akan menyekat pergerakan hidupan liar antara dua pusat kepelbagaian biologi tersebut.

Pembangunan ini dijangka akan memberi kesan lebih besar terhadap spesies yang bergantung kepada hutan, yang memerlukan habitat berhubung untuk bergerak, seperti rama-rama harlequin, tenggeling Sunda dan kucing batu.

Laporan setebal 596 muka surat itu, yang menyusun data yang dikumpul antara Februari dengan November 2023, turut menekankan habitat hutan hanya merangkumi kurang 30 peratus daripada keluasan tanah Singapura.

Langkah lain yang disarankan dalam laporan itu bagi mengehadkan kesan pembangunan terhadap alam sekitar termasuk memindahkan flora – jika keadaan mengizinkan – serta membina laluan bagi hidupan liar.

Namun, meskipun dengan langkah itu, kehilangan lebih 40 peratus habitat dan sumber makanan dijangka memberi kesan besar terhadap hidupan liar.

JTC berkata ia akan mengkaji cara mengekalkan kawasan semula jadi bagi melengkapkan ruang hijau sedia ada di dalam JDI, termasuk Taman The Potter’s – taman seluas lima hektar yang diperbaharui dan sebelum ini dikenali sebagai Taman Eko Jurong.

Pihak pemaju berkata ia akan melaksanakan beberapa saranan dalam laporan tersebut, termasuk membersihkan tapak berkenaan secara berperingkat serta menilai kebolehlaksanaan penanaman tumbuhan tempatan untuk memelihara habitat hutan sedia ada.

Pakar pemuliharaan dan saintis menyambut baik pelan mitigasi yang disarankan, namun menekankan langkah tersebut perlu diperhalusi dan tindakan lebih tegas diperlukan bagi mengurangkan kesan terhadap hidupan liar.

Orang ramai boleh meneliti dan mengemukakan maklum balas terhadap laporan penilaian kesan alam sekitar itu di https://www.jtc.gov.sg/about-jtc/championing-sustainability/environmental-studies sehingga 28 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg