Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat data terbesar S’pura jejak karbon rendah bakal dibina di Pulau Jurong

Oct 27, 2025 | 7:58 PM
Pusat data terbesar S’pura, jejak karbon rendah, Pulau Jurong
Sebuah taman pusat data dengan jejak karbon rendah bakal dibina di Pulau Jurong di kawasan seluas sekitar 20 hektar, atau seluas lebih kurang 25 padang bola sepak, sekali gus menjadikannya yang terbesar seumpamanya di Singapura. - Foto JTC

Sebuah taman pusat data dengan jejak karbon rendah bakal dibina di Pulau Jurong di kawasan seluas sekitar 20 hektar atau keluasan sekitar 25 padang bola sepak.

Ini menjadikan taman pusat data tersebut dengan kapasiti sehingga 700 megawatt yang terbesar seumpamanya di Singapura.

Mengumumkannya pada 27 Oktober semasa berucap pada acara pembukaan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) ke-18 di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, berkata usaha itu adalah sebahagian rancangan lebih besar mengubah Pulau Jurong daripada kebergantungan pada bahan api tradisional.

Ini di samping memacu inovasi pelepasan karbon rendah bagi masa hadapan sektor tenaga dan kimia, kata beliau.

Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia, berkata: “Pulau Jurong akan terus mempelbagaikan (produk) dan memacu peluang pertumbuhan dalam bahan kimia khusus dan produk mampan.

“Terdapat minat yang semakin meningkat daripada syarikat bahan kimia khusus untuk mengembangkan keberadaan mereka di Singapura, didorong pertumbuhan permintaan serantau untuk produk bermutu tinggi.

“Singapura berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini.”

Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan syarikat pemaju industri Perbadanan Bandar Jurong (JTC), dalam satu kenyataan bersama pada 27 Oktober, berkata kawasan seluas 20 hektar daripada keseluruhan 3,000 hektar di Pulau Jurong itu dikhaskan untuk menempatkan pusat data itu.

Penekanan terhadap jejak karbon rendah adalah selaras dengan Hala Tuju Pusat Data Hijau Singapura 2024 – iaitu menangani jejak karbon tinggi yang terkait dengan pusat data.

Singapura menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

“Pengendali boleh memanfaatkan ekosistem (Pulau Jurong) seperti prasarana dan utiliti penyimpanan tenaga berkongsi, kapasiti kuasa yang mencukupi serta sumber tenaga dengan jejak karbon rendah yang baru,” kata EDB dan JTC.

Singapura sebelum ini telah mengenakan moratorium (penggantungan atau penangguhan) ke atas pusat data baru dari 2019 hingga 2022 susulan kebimbangan mengenai penggunaan tenaga dan air yang tinggi.

Pusat data baru berkenaan harus memenuhi piawaian kecekapan, menerima pakai sistem penyejukan canggih dan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Sehubungan itu, Dr Tan berkata Pulau Jurong, yang meraikan ulang tahun ke-25 pada 2025, berada di landasan yang betul untuk mencapai tiga sasaran kemampanan menjelang 2030.

Pertama, terdapat peningkatan 1.4 kali dalam pengeluaran produk mampan pada 2024 berbanding tahap yang dicatatkan pada 2019, dengan Singapura meletakkan sasaran untuk mencapai peningkatan 1.5 kali menjelang 2030.

Kedua, kilang penapisan dan pemecah di Singapura itu kini berada dalam kedudukan separuh teratas dalam industri bagi kecekapan tenaga, dengan sektor tersebut sedang berusaha ke arah mencapai matlamat 2030 untuk berada dalam kuartil teratas.

Kilang pemecah merupakan kemudahan petrokimia besar yang menggunakan haba tinggi untuk menguraikan bahan bakar tertentu.

Sasaran ketiga adalah merealisasikan sekurang-kurangnya 2 juta tan penangkapan karbon menjelang 2030.

EDB dan JTCS berkata S-Hub, sebuah konsortium antara Shell dengan ExxonMobil, sedang mengkaji daya maju projek penangkapan karbon rentas sempadan dari Singapura.

Apabila ia dibangunkan sepenuhnya, projek itu akan mampu menangkap dan menyimpan sekurang-kurangnya 2.5 juta tan karbon dioksida setahun, tambahnya.

Dr Tan turut menyentuh berkenaan peranan Pulau Jurong sebagai tapak ujian sejagat bagi tenaga baru dan teknologi rendah karbon.

Tenaga baru dan teknologi rendah karbon merujuk kepada penggunaan bahan api seperti ammonia atau hidrogen, yang tidak menghasilkan karbon dioksida apabila dibakar, dan teknologi seperti penangkapan karbon.

Beliau berkata Singapura akan melancarkan strategi 2030 untuk penyelidikan, inovasi dan perusahaan pada 2026 bagi mengembangkan penyelidikan dan pembangunan bagi usaha penyahkarbon untuk sektor dan industri janakuasa

“Semua usaha ini memastikan Pulau Jurong terus menjadi tempat ideal kepada firma-firma mapan dan mewujudkan peluang kerjaya yang bermakna dalam ekonomi hijau yang semakin berkembang,” kata Dr Tan lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg