Berbeza daripada agensi korban biasa, kempen korban anjuran Perdaus membawa pendekatan yang lebih menyeluruh. Ia bukan sekadar menyalurkan daging korban ke tempat-tempat yang memerlukan, sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Kempen ini juga memberi impak jangka panjang melalui sokongan kepada program pembangunan kepimpinan belia dan latihan asatizah muda. Golongan ini dibimbing agar menjadi peneraju masa hadapan ummah. Setiap lebihan dana daripada kempen disalurkan untuk memperkasa usaha ini, menjadikan ibadah korban bukan hanya satu pengorbanan, bahkan satu pelaburan demi masa depan yang cerah.
Dengan menempah korban melalui Perdaus, masyarakat Singapura berpeluang memilih untuk menerima daging korban di Singapura atau menyumbangkannya kepada golongan yang memerlukan di luar negara, termasuk di Palestin, Indonesia, dan Kemboja.
Korban di Australia
Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban kambing biri-biri di Australia, Perdaus menawarkan pakej korban dengan kerjasama syarikat SBY Frozen Food Supply Pte Ltd, pada harga $369 seekor.
Menurut Pegawai Kanan Komunikasi Korporat Perdaus, Cik Khatim Hamidon, acara penyembelihan dijadual berlangsung pada 12 dan 13 Zulhijah (9 dan 10 Jun 2025), dan dagingnya akan dibungkus serta diterbangkan ke Singapura dalam masa lebih kurang dua minggu selepas Aidiladha.
“Para peserta sangat menghargai potongan kecil yang kami sediakan kerana tulang kambing biri-biri sangat keras dan sukar dipotong di rumah. Ini juga memudahkan penyimpanan dan pemberian kepada keluarga,” jelas Cik Khatim.
Setiap peserta akan menerima antara 16 kilogram dengan 18 kilogram daging, dibungkus secara vakum. Peserta boleh memilih untuk menerima semua atau sebahagian daging korban, manakala selebihnya boleh disumbangkan kepada masyarakat am di Singapura.
Dalam daya usaha berasingan, Perdaus turut bekerjasama dengan A2A Global untuk mengagihkan daging korban kambing biri-biri kepada masyarakat yang memerlukan di Palestin, pada harga $359 seekor.
“Matlamat utama adalah untuk edaran di Tebing Barat. Namun, jika keadaan tidak mengizinkan, ia akan dialihkan ke kem pelarian Palestin di negara jiran,” tambah Cik Khatim.
Perdaus juga memperkenalkan pilihan tambahan berupa sumbangan makanan dalam tin sedia dimakan, yang akan dihantar kepada rakyat Palestin.
Set makanan ini mengandungi tiga tin berharga $15, dan penghantarannya diselaras bersama Jordan Hashemite Charity Organisation untuk keperluan di Gaza.
Korban di Indonesia
Bagi peserta yang ingin menyumbang di Indonesia, Perdaus bekerjasama dengan Yayasan Peduli Umat Malang (PUMA) untuk mengagihkan daging kambing korban kepada penduduk yang memerlukan di daerah Malang. Penyembelihan akan dilangsungkan pada 10 hingga 11 Zulhijah (7 hingga 8 Jun 2025), dan acara ini akan diselia oleh pegawai Korban Perdaus, Ustaz Abdul Rahman Abdul Aziz. Perdaus telah berkhidmat di kawasan ini selama lebih daripada sepuluh tahun.
Korban di Kemboja
Untuk korban lembu di Kemboja, pelaksanaan akan diadakan pada 12 dan 13 Zulhijah (9 dan 10 Jun 2025) dengan kerjasama Persatuan Pembangunan dan Pendidikan Islam Kemboja (IDEA). Daging lembu akan diagihkan kepada masyarakat memerlukan di Kompong Chnang dan Tbong Khmom, bersama dengan pek barangan runcit.
“Kami amat bersyukur dengan setiap tempahan korban yang diterima kerana ia mencerminkan kesedaran tinggi masyarakat Islam dalam menunaikan ibadah ini sebagai sunah dan syiar, serta keprihatinan mereka terhadap nasib umat Islam di luar negara,” kata Cik Khatim.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan status korban melalui saluran WhatsApp dan Facebook rasmi Perdaus. E-sijil korban akan dihantar dalam tempoh sebulan selepas pelaksanaan. Tarikh akhir pendaftaran bagi semua tempahan ialah pada 1 Jun 2025.
Pada 2025 ini, Perdaus turut menandakan permulaan baru dalam kepimpinan Perdaus dengan pelantikan Ustaz Zulhilmi Mohamed sebagai Pengarah Eksekutif yang baru. Beliau pernah menjadi pelajar di Perdaus dan mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kepimpinan keagamaan, termasuk sebagai Imam, pengurus masjid dan Naib Kadi.
Beliau juga merupakan lulusan Universiti Al-Azhar dan pemegang ijazah sarjana daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Di bawah kepimpinan beliau, Perdaus bertekad akan terus menyemarakkan semangat korban dan meneruskan legasi pembangunan masyarakat.
“Insya-Allah, Ustaz Zulhilmi dijadualkan turut menyertai projek korban anjuran Perdaus di luar negara,” tambahnya.
Cara Menyertai Korban Perdaus 2025
Layari laman rasmi Perdaus di: www.perdaus.org.sg/qurban
Pembayaran boleh dibuat melalui PayNow, tunai atau melalui dalam talian. Urusan di pejabat hanya melalui janji temu sahaja.
Kunjungi Imad Perdaus Bedok di Blok 125 Bedok North Road #01-115 Singapura 460125, di talian 8127-3729 atau Imad Perdaus Bukit Batok di Blok 364 Bukit Batok Street 31 #01-259 Singapura 650364. Hubungi talian 9873-3369.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg