Pelaksanaan ibadah korban di tiga rumah penyembelihan di Australia telah dijalankan dengan penuh kecekapan dan pematuhan ketat sejajar dengan piawaian dan syariat Islam.
Ini meskipun jumlah haiwan korban yang ditempah masyarakat Melayu/Islam Singapura di bawah inisiatif SalamSG Korban adalah besar iaitu 5,700 – antara jumlah tertinggi pernah dicatatkan saban tahun.
Ini juga peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding 2024, kata SalamSG dalam satu kenyataan pada 3 Jun.
Buat julung-julung kalinya, Berita Harian (BH) berpeluang melihat dengan lebih dekat ibadah tersebut dilaksanakan melibatkan biri-biri dan anak biri-biri di pusat penyembelihan Hillside Meat Processors di daerah Narrogin, Wheatbelt, Australia.
BH menyertai lawatan tersebut sebagai sebahagian daripada delegasi pemerhati SalamSG Korban bagi memeriksa proses korban di Australia mengikut jadual dan lebih penting lagi, menurut syariat Islam.
Pusat menyembelih di Narrogin itu salah satu daripada dua pusat penyembelihan yang terletak di selatan Perth dan mengambil masa sekitar dua jam memandu dari bandar – satu lagi adalah Fletcher International Abattoir di Albany, iaitu sekitar lima jam dari Perth.
Pusat menyembelih ketiga yang melaksanakan korban bagi sohibul korban (mereka yang melakukan ibadah korban) Singapura terletak di bandar Melbourne, Victoria.
Berkenaan perihal pematuhan, salah seorang pemerhati yang juga penasihat SalamSG Korban, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, berkata proses penyembelihan amat menitikberatkan piawaian, garis panduan dan peraturan Islam.
Beliau berkata: “Pada pengamatan saya, proses yang dijalankan di setiap rumah penyembelihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan piawaian sangat tinggi.
“Dengan kehadiran pihak daripada badan pensijilan halal Australia dan pihak berkuasa pertanian tempatan, ini memberikan keyakinan terhadap ketelusan proses (yang ada).”
Malah dalam satu kenyataan pada 10 Jun, Pengerusi SalamSG Korban, Encik Mohamed Imran Omar, berkata kepentingan dan keberkatan ibadah korban kekal setara.
Ini meskipun ia dilakukan di luar negara, sejajar dengan nasihat yang dikeluarkan Pejabat Mufti (OOM), ujarnya.
Ini termasuk aspek pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), ujarnya.
Secara khusus, pusat penyembelihan yang dikunjungi BH mempunyai sekurang-kurangnya pentauliahan daripada tiga badan pensijilan yang diiktiraf di bawah Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB) Muis.
Ketiga-tiga badan itu adalah Penguasa Halal Western Australia, Penguasa Pensijilan Halal Australia dan Jawatankuasa Penyelarasan Bersama Islam Victoria.
BH meninjau persiapan sebelum penyembelihan haiwan, proses penyembelihan dan proses selepas penyembelihan.
Biri-biri dan anak biri-biri akan dibawa dengan lori treler pemunggah haiwan dari ladang ternakan berhampiran ke pusat penyembelihan.
Haiwan tersebut kemudian akan dilepaskan ke kandang sementara di perkarangan pusat penyembelihan – ada beberapa kandang sedemikian yang saiznya seluas seperempat padang bola sepak.
Sebelum biri-biri dan anak biri-biri dilepaskan dari lori, kakitangan pusat penyembelihan akan memastikan kandang sementara yang terletak di perkarangan pusat itu mempunyai air dan makanan mencukupi bagi haiwan.
Selepas ia dilakukan, haiwan tersebut dilepaskan ke dalam kandang tersebut.
Di sini, kakitangan pusat penyembelihan dan pakar haiwan akan memeriksa setiap haiwan agar ia sesuai disembelih.
Antara kriteria ialah haiwan perlu cukup sifat dan bebas penyakit atau jangkitan – haiwan yang tidak sesuai ditandakan supaya ia tidak disembelih.
Ini sekali gus memastikan kemaslahatan haiwan korban terjaga, sejajar dengan syariat Islam yang menganjurkan sebaik-baik haiwan untuk dikorbankan adalah haiwan yang sempurna kejadiannya.
Sekiranya biri-biri tidak sesuai untuk disembelih, ia akan ditandakan dengan dakwat khas bagi membezakannya dengan biri-biri lain.
Biri-biri sesuai akan dimasukkan ke kandang khas sejurus sebelum memasuki rumah penyembelihan.
Sebelum disembelih, haiwan korban akan ditenangkan melalui proses pemengsanan bukan invasif di bahagian tengkuk kira-kira empat saat bagi memudahkan pengawalan haiwan sebelum diletakkan di atas platform bergerak atau ‘conveyor’.
Pada peringkat ini, haiwan akan disambut oleh dua kakitangan beragama Islam (penyembelih dan wakil sohibul korban).
Wakil akan membacakan nama-nama sohibul korban sebelum haiwan disembelih oleh penyembelih Islam yang mahir dengan berlandaskan tuntutan agama. Enam ekor kambing boleh disembelih dalam seminit.
Haiwan korban digantung dari kaki belakang untuk membiarkan darah mengalir keluar, sebelum proses melapah haiwan – termasuk pembuangan kulit, usus dan organ – bermula.
Proses melapah tersebut dilakukan dengan begitu teliti sehinggakan tiada sisa yang tinggal pada daging haiwan yang dikorbankan.
Setiap kakitangan juga mempunyai peranan khas masing-masing, yang mempercepatkan proses itu.
Selepas kulit, usus dan organ dibuang, haiwan dibersihkan menggunakan wap panas yang berfungsi sebagai pembasmi kuman, pencemaran atau kotoran.
Daging kemudian akan diperiksa penguasa tempatan daripada Jabatan Industri Utama dan Pembangunan Wilayah, yang bertanggungjawab ke atas perihal penguatkuasaan peraturan pertanian di wilayah Western Australia agar mutu daging korban mengikut piawaian.
Apabila daging sedemikian lulus pemeriksaan penguasa tempatan, ia kemudian akan ditandakan dengan nombor pendaftaran khas supaya mudah dijejaki, sebelum dihantar ke bilik pembekuan.
Setelah dibekukan, daging dipotong dan dibungkus dalam kotak untuk dihantar melalui pesawat, sebelum ia dikirimkan terus ke alamat sohibul korban di Singapura atau diagihkan melalui program SalamSG Gives serta masjid yang mengambil bahagian dan mempunyai unit pembangunan sosial.
Sohibul korban boleh menjangkakan daging yang diterima beratnya sekitar 16 hingga 18 kilogram bagi setiap bungkusan.
Sekitar 13,000 kilogram daging biri-biri yang didermakan pula ditinkan dan akan dihantar ke Gaza melalui rakan kongsi yang dipercayai, sebagai sebahagian daripada usaha pengedaran daging korban itu.
Menurut Encik Mohd Khalid, proses tersebut boleh memakan masa sehingga Oktober atau November – bergantung pada tahap keselamatan untuk dihantar masuk ke wilayah Palestin.
“
Pada pengamatan saya, proses yang dijalankan di setiap rumah penyembelihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan piawaian sangat tinggi. Dengan kehadiran pihak daripada badan pensijilan halal Australia dan pihak berkuasa pertanian tempatan, ini memberikan keyakinan terhadap ketelusan proses (yang ada).Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg