Semua haiwan yang ditempah bagi ibadah korban 2025 di bawah inisiatif SalamSG Korban telah selesai dikorbankan mengikut syariat Islam di pusat menyembelih serata Australia.
Dalam satu kenyataan oleh SalamSG pada 10 Jun, sebanyak 5,700 kambing dan lembu telah dikorbankan semasa hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah) pada 9 dan 10 Jun.
Ini termasuk 3,116 kambing biri-biri, 1,797 anak biri-biri dan 765 bahagian lembu.
Jumlah haiwan korban kali ini adalah antara yang terbesar pernah dicatatkan sejak saban tahun dan menurut SalamSG, adalah peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding 2024.
Penasihat SalamSG Korban, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, berkata proses penyembelihan telah mengikut piawaian, garis panduan dan syariat yang ditetapkan Islam.
“Ibadah korban yang telah dilaksanakan di Australia telah memenuhi syarat-syarat keagamaan.
“Wakil kami daripada SalamSG Korban telah berada di tiga pusat menyembelih iaitu di Melbourne, Perth dan Albany bagi menyaksikan sendiri penyembelihan ini,” ujarnya, yang juga mantan Pengerusi SalamSG Korban 2024.
Beliau ditemui Berita Harian (BH) di bandar Perth, Australia Barat, setelah meninjau proses penyembelihan kambing korban di salah satu pusat menyembelih di daerah Narrogin – terletak di selatan Perth dan mengambil masa sekitar dua jam memandu dari bandar.
SalamSG menyatakan penghantaran daging korban kepada Sohibul Korban, atau seseorang yang melakukan ibadah korban, dijangka akan dilaksanakan mulai 12 Jun dan mereka akan dimaklumkan oleh vendor yang telah dilantik.
Encik Khalid menambah, proses penyembelihan mematuhi garis panduan Islam dan pengesahan halal oleh badan pensijilan yang diiktiraf Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) – antaranya Penguasa Halal Western Australia dan Penguasa Pensijilan Halal Australia.
Malah, terdapat wakil daripada badan pensijilan tersebut, di samping wakil penguasa pertanian tempatan, supaya daging yang disembelih memenuhi mutu piawaian yang ditetapkan.
Ini sekali gus “memberi keyakinan terhadap ketelusan proses penyembelihan”, katanya.
BH turut berpeluang mengunjungi pusat itu bagi menyaksikan proses penyembelihan, yang dapat dilakukan ke atas sekitar 300 kambing dalam tempoh sekitar 25 minit.
Menyentuh berkenaan rancangan penghantaran daging korban ke Gaza dan rakyat Palestin, Encik Khalid berkata dari tempoh pembungkusan hingga penghantaran, ia boleh memakan masa sehingga Oktober atau November – tertakluk sama ada ia selamat untuk dihantar masuk ke wilayah Palestin.
Pada 4 Jun, BH melaporkan sekitar 65 peratus daging korban yang ditempah akan didermakan di dalam dan luar negara bagi ibadah korban 2025 di bawah inisiatif SalamSG Korban.
Sekitar 13,000 kilogram daging biri-biri yang didermakan akan ditinkan dan dihantar ke Gaza melalui rakan kongsi yang dipercayai, sebagai sebahagian daripada usaha pengedaran daging korban itu.
Bahagian selebihnya akan diagihkan melalui program SalamSG Gives serta masjid yang mengambil bahagian dan mempunyai unit pembangunan sosial.
Sementara itu, SalamSG dalam mesej yang dihantar melalui WhatsApp pada 6 Jun, menyatakan penyembelihan haiwan korban hanya dapat dilakukan selepas Hari Raya Haji yang disambut Singapura pada 7 Jun.
Ini memandangkan hari rehat di Australia adalah Sabtu (7 Jun) dan Ahad (8 Jun), dengan beberapa wilayah juga meraikan cuti umum pada 9 Jun (Isnin).
Oleh demikian, pusat penyembelihan di sana tidak beroperasi pada hari-hari terbabit dan proses penyembelihan hanya dapat dijalankan pada 9 dan 10 Jun, tambah SalamSG.
Sehubungan itu, Encik Khalid berkata ini adalah satu aspek yang akan diperhalusi bagi memastikan pusat penyembelihan memaklumkan jadual sembelihan dan tarikh penutupan pusat lebih awal.
Ini agar ia dapat mengurangkan kesan terhadap proses penyembelihan kerana ibadah korban perlu dilakukan selepas solat Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah (7 Jun) hingga sebelum waktu Asar pada 13 Zulhijah (10 Jun) – iaitu sekitar empat hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg