USTAZAH MASNIA NASSIM
Dalam konteks kehidupan, pengorbanan hadir dalam pelbagai bentuk. Ia tidak semestinya dalam bentuk yang luar biasa.
Kadangkala, ia hadir dalam bentuk yang amat sederhana, namun sarat dengan erti dan nilai kemanusiaan.
Lihatlah seorang ayah. Demi memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan sempurna, beliau sanggup mengorbankan waktu rehat, bekerja lebih masa, dan mengetepikan kehendak peribadi.
Matlamatnya jelas – mahu melihat anak-anak berjaya dan menjadi insan berguna pada masa hadapan.
Seorang ibu pula sanggup tidak tidur malam, berjaga menemani anak yang demam atau sakit.
Beliau tidak pernah mengeluh, tidak meminta balasan kerana segala yang dilakukan itu lahir daripada kasih yang suci dan tulus.
Dalam dunia pelajar, pengorbanan hadir dalam bentuk ketekunan.
Seorang pelajar yang mahu berjaya sanggup mengorbankan masa hiburan, menolak keseronokan bersama teman sebaya demi mencapai cita-cita.
Ini adalah bentuk pengorbanan yang lahir daripada keazaman dan kejelasan matlamat.
Namun, dalam sejarah umat Islam, tiada kisah pengorbanan yang dapat menandingi kisah Nabi Allah Ibrahim as yang diperintahkan oleh Allah swt untuk mengorbankan anaknya yang sangat disayangi, Nabi Ismail as, anak yang dinanti-nantikan selama bertahun-tahun.
Bayangkan, seorang bapa yang penuh kasih terhadap anaknya, sanggup menyerahkan segalanya hanya kerana ketaatan dan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah swt.
Inilah puncak pengorbanan, apabila seseorang sanggup melepaskan sesuatu yang paling disayangi demi mentaati perintah Allah swt.
Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) beriltizam memperjuangkan syiar Islam dan gigih menganjurkan ibadah korban dengan penuh rasa tanggungjawab.
Sejak berdekad lalu, MWTI mengambil peluang kedatangan bulan Zulhijah untuk menggalakkan umat Islam menyertai program korban yang diyakini, amanah dan telus.
Ibadah korban anjuran MWTI ini diperluaskan ke beberapa negara yang amat memerlukan bantuan, antaranya di Kemboja, dan Banten di Indonesia.
Di negara-negara itu, ramai umat Islam yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dan mengharapkan daging korban sebagai sumber makanan yang jarang dinikmati. Ibadah korban di Australia turut dilaksanakan.
Melalui penyertaan masyarakat, daging korban itu dapat diagihkan kepada ribuan keluarga memerlukan, menjadikan ibadah korban bukan hanya satu ibadah peribadi, bahkan juga satu bentuk dakwah dan misi kemanusiaan.
MWTI mengalu-alukan penyertaan umat Islam di Singapura agar sama-sama menghayati semangat pengorbanan dengan menyertai ibadah korban 2025.
Semoga semangat pengorbanan yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as terus mekar dalam hati umat Islam, sebagai lambang keikhlasan, ketaatan, dan kepedulian terhadap sesama manusia.
Bagi pendaftaran atau maklumat lanjut, sila hubungi talian 6741-0131, atau terus ke pejabat madrasah di, 589 Sims Avenue, Singapura 387600.
Untuk pertanyaan dan penyertaan, layari laman web, https://bh.sg/MWTI
Penulis mudirah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg