Keselamatan pengkomputeran hijau dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi antara bidang tumpuan pusat penyelidikan dan inovasi AI baru, yang dijangka ditubuhkan di Sekolah Pengkomputeran Universiti Nasional Singapura (NUS) menjelang 2025.
Hasil kerjasama antara IBM dengan NUS, pusat itu bertujuan mempercepatkan penyelidikan saintifik di sini dengan memanfaatkan prasarana gergasi teknologi AI Amerika Syarikat tersebut.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, mengumumkan penubuhan pusat itu dalam acara IBM Think 2024 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands pada 15 Ogos.
Cik Teo menyifatkan IBM sebagai rakan kongsi lama republik ini dalam bidang AI, dengan banyak usaha firma itu berkhidmat untuk kepentingan awam, lapor The Straits Times.
Ini adalah kali pertama sistem prasarana AI penuh IBM – keseluruhan spektrum perisian dan teknologi yang diperlukan untuk membina, menguji dan menggunakan aplikasi – dipasang di kampus universiti di rantau Asia-Pasifik.
Prasarana pengkomputeran yang dioptimumkan AI akan beroperasi pada watsonx, data dan platform AI yang dibangunkan oleh IBM, serta platform awan hibrid Red Hat syarikat itu.
Agensi pemerintah dan syarikat serta institusi akademik dan penyelidikan, akan dapat memanfaatkan pusat baru itu untuk menjalankan penyelidikan AI termaju yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai, kata NUS dan IBM dalam satu kenyataan.
“Kerjasama yang dicadangkan itu akan memanfaatkan kepakaran NUS untuk memacu kemajuan teknologi dalam AI, membolehkan sistem AI yang lebih berkuasa, cekap dan serba boleh yang berupaya menangani tugas yang semakin kompleks,” kata mereka.
Pusat itu akan mengambil pendekatan inovasi terbuka yang memberi tumpuan pada kemampanan untuk membangunkan teknologi AI – menggabungkan idea daripada sumber luaran dan dalaman – yang mempunyai potensi lebih besar meningkatkan mutu dan kadar penggunaan teknologi AI baru, tambah NUS dan IBM.
“IBM dan NUS berkongsi matlamat yang sama untuk membolehkan inovasi dalam AI dan pengkomputeran mampan, dan kami berharap untuk meneruskan kerjasama ini,” kata Naib Presiden Platform AI dan Awan Hibrid IBM Research, Encik Priya Nagpurkar.
Timbalan Presiden bagi Penyelidikan dan Teknologi NUS, Profesor Liu Bin, berkata universiti itu “sangat teruja” untuk bekerjasama dengan IBM.
“Dengan membangunkan Institut Penyelidikan AI NUS baru yang diumumkan awal tahun ini (2024), dan komitmen universiti terhadap pengkomputeran hijau dan kemampanan, kami menyasarkan untuk menjadi peneraju dalam menangani permintaan industri yang semakin meningkat untuk kecerdasan AI, memupuk kumpulan bakat yang mantap dan menyumbang kepada usaha penyahkarbonan Singapura,” tambahnya.
Kerjasama itu juga akan membolehkan Program Inovasi Penyelidikan Siswazah NUS (Grip), bersama syarikat baru tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana, mengakses teknologi seperti Platform watsonx IBM dan Red Hat OpenShift AI.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg