Seorang ibu tiga anak kecil antara 76 suspek pesalah dadah diberkas dalam operasi lima hari di seluruh Singapura baru-baru ini, kata Biro Narkotik Pusat (CNB).
Dua anaknya, berusia 12 tahun dan 14 tahun, berada di rumah semasa wanita berusia 31 tahun itu ditangkap.
Dadah Ice, juga dikenali sebagai methamphetamine, dan peralatan mengambil dadah ditemui di bilik tidur wanita itu yang boleh dimasuki oleh anak-anaknya, kata CNB dalam satu catatan di Facebook pada 15 Mac.
Menurut CNB, anak-anak wanita itu kini dijaga oleh saudara terdekatnya.
Menurut laporan The Straits Times (ST) sebelum ini mengenai kes dadah pada 2024, pegawai CNB menyelamatkan sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak semasa serbuan dadah di rumah.
Pada 2023, empat kanak-kanak diselamatkan semasa serbuan sedemikian.
Dalam kenyataan media pada 15 Mac itu, CNB berkata operasi terkini itu berlangsung 10-14 Mac, dan ia merampas kira-kira 462 gram heroin, 357 gram Ice, 58 gram ganja, 11 gram ketamin, 46 gram Ecstasy dan 76 pil Erimin-5.
Dadah itu dianggarkan bernilai lebih $97,800, kata biro tersebut.
Operasi itu dijalankan di kawasan yang termasuk Bukit Merah, Chai Chee, Tiong Bahru, Jurong dan Yishun.
Pada pagi 11 Mac, pegawai CNB menangkap seorang lelaki warga Singapura berusia 30 tahun di Tampines Street 82 kerana disyaki mengedar dadah. Sekitar 10 gram dadah jenis Ice dirampas darinya.
Di rumahnya yang berhampiran, pegawai CNB menemui 160 gram dadah jenis Ice dan 42 gram Ecstasy.
Pada pagi sama, pegawai CNB menyerbu sebuah rumah lagi di Bishan Street 12 dan menangkap seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun dan seorang wanita warga Singapura berusia 41 tahun kerana disyaki mengedar dadah.
Pegawai CNB menemui sekitar 430 gram heroin, 28 gram Ice, 14 gram ganja dan 46 tablet Erimin-5 di situ.
Siasatan ke atas semua suspek masih berjalan.
Dalam laporan statistik tahunan yang dikeluarkan pada 12 Februari, CNB berkata penyalah guna dadah baru berjumlah 966 pada 2024, berbanding 952 pada 2023.
Penyalah guna dadah baru berusia bawah 30 tahun membentuk lebih separuh daripada semua kes dadah baru pada 2024, tahun kedua berturut-turut.
Mengedar atau menawarkan untuk mengedar dadah terkawal, baik untuk diri sendiri mahupun bagi pihak orang lain, termasuk orang yang tidak berada di Singapura, adalah satu kesalahan.
Membuat persiapan untuk mengedar dadar terkawal atau menawarkan diri untuk berbuat demikian juga adalah satu kesalahan, kata CNB.
Sesiapa didapati bersalah mengedar lebih 15 gram diamorfin, atau heroin tulen, 250 gram Ice atau 500 gram ganja boleh dihukum mati.
Mengulas mengenai penangkapan ibu itu di media sosial, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata menyalah guna dadah bukan menjejas individu sahaja, bahkan keluarga.
“Keluarga selalunya menanggung beban emosi dan fizikal ketagihan dadah yang dialami orang tersayang. Kanak-kanak pula terdedah kepada risiko. Ini adalah realiti hodoh penyalahgunaan dadah yang tidak harus dilupakan apabila sesiapa mencadangkan bahawa dadah tidak berbahaya atau harus dibenarkan undang-undang. Ia satu peringatan bahawa kita tidak boleh melonggarkan pendirian tidak bertolak ansur terhadap dadah.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg