Bagi ramai keluarga, terutamanya ibu dan anak, perbualan seharian mungkin berkisar kepada hal ehwal keluarga atau perkembangan terkini.
Namun, bagi pasangan ibu dan anak – jururawat klinikal di Hospital Ng Teng Fong, Cik Rosidah Idris, 59 tahun, dan anak lelakinya, Encik Irsyad Baharudin, 32 tahun, seorang jurutera bersekutu di hospital sama – topik perbualan mereka berkisar inovasi terkini dan cara meningkatkan penjagaan pesakit.
Sebelum ini, Encik Irsyad bekerja di sebuah syarikat Jepun dalam bidang pengilangan melibatkan tugas menyenggara dan memperbaiki mesin yang rosak.
“Ibu saya selalu berkata hospital juga ada pelbagai mesin berlainan fungsi yang digunakan dalam rawatan pesakit.
“Dari situ, saya terdorong untuk menyertai industri penjagaan pesakit pula,” kata Encik Irsyad.
Anak kedua daripada empat beradik itu mula menyertai Hospital Ng Teng Fong pada 2017 sebagai seorang jurutera.
Kini, tugasnya termasuk meneliti dan membaiki kerosakan peralatan perubatan.
Bagi Cik Rosidah, yang telah bekerja dalam bidang kejururawatan hampir 40 tahun, beliau menyertai bidang tersebut atas galakan arwah bapanya, Encik Idris Ariff.
Cik Rosidah bermula sebagai seorang jururawat di bilik pembedahan sebelum beralih ke bidang endoskopi (pemeriksaan bahagian dalaman tubuh), neurologi (bidang berkaitan saraf) dan rawatan kanak-kanak.
Beliau kini seorang jururawat klinikal dalam kejururawatan informatik, melibatkan penggunaan informasi, data dan sains untuk meningkatkan kesihatan dan perjalanan pemulihan pesakit.
Ditanya mengenai cabaran bekerja di tempat yang sama, Cik Rosidah dan Encik Irsyad berkata ia tidak menjadi isu memandangkan mereka bertugas di jabatan berbeza.
Malah, mereka tetap akan makan tengah hari bersama-sama.
Cik Rosidah juga bangga melihat anaknya berkecimpung dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Penjagaan kesihatan adalah bidang kerjaya yang mulia, apabila anda dapat membantu pesakit pulih.
“Saya juga bangga melihat anak saya ceburi bidang ini dan menjadi sebahagian daripada perjalanan pemulihan mereka,” kata Cik Rosidah.
Beliau juga sering menasihati Encik Irsyad untuk selalu menghormati jururawat yang lain apabila mengajar atau menolong mereka berkaitan fungsi mesin.
“Ibu selalu berpesan, tidak semua jururawat sama dan ada kalanya, cara mereka berbeza,” ujar Encik Irsyad.
Kedua-dua ibu dan anak turut menekankan pentingnya sikap ihsan dalam memberi khidmat kepada pesakit, serta inovasi teknologi dalam meningkatkan mutu penjagaan.
Kini, mereka sedang berganding bahu untuk meneroka teknologi baru, yang butirannya akan diumumkan tidak lama lagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg