Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kasih sayang ibu besarkan anak titipan tiada batas

May 11, 2025 | 5:30 AM
Zaina Zainal, Mohammad Asiek Ashari
Sebagai ibu bapa titipan, Cik Zaina Zainal dan Encik Mohammad Asiek Ashari, bertekad untuk terus memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak yang memerlukan. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kasih sayang seorang ibu kepada anak tiada batas, tidak kira sama ada anak kandung ataupun tidak.

Setelah lapan tahun berumah tangga tanpa dikurniakan zuriat, Cik Zaina Zainal, 48 tahun, menyambut kehadiran anak titipannya yang pertama pada 2019.

Bersama suaminya, Encik Mohammad Asiek Ashari, 45 tahun, mereka membesarkan anak lelaki titipan mereka daripada usia setahun sehingga enam tahun.

Kini, mereka menjaga dua lagi anak titipan – seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan anak perempuan berusia empat tahun.

“Kami sendiri tidak pernah mempunyai anak, jadi pada mulanya kami rasa amat teruja.

“Walaupun ini merupakan perkara baru bagi kami sebagai ibu bapa, keluarga kami turut menyokong dan membantu,” kata Cik Zaina, dalam sesi temu bual bersama Berita Minggu (BM).

Pasangan suami isteri itu berkongsi memang menyayangi kanak-kanak dan telah mengambil peluang menjaga anak titipan bagi merealisasikan impian mereka menjadi ibu bapa.

Namun, yang lebih penting bagi mereka adalah menyediakan rumah yang selamat dan penuh kasih sayang kepada kanak-kanak, yang mungkin kurang menerima perhatian tersebut dalam keluarga kandung mereka.

“Kita boleh sayang mereka dan ajar mereka perkara yang baik.

“Pada saya, ini semua datang dengan semula jadi. Mungkin sebelum ini, mereka tidak menerima kasih sayang yang cukup, jadi mereka rasa dihargai bila kami menyayangi mereka,” kata pembantu pergigian itu.

Beliau kelihatan begitu gembira menceritakan tentang anak-anak titipannya, namun akur pengalaman ini bukan tanpa cabaran.

Pasangan tersebut mendaftar dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk menyertai skim titipan, khususnya untuk kanak-kanak kecil, sekitar usia prasekolah.

Kanak-kanak tersebut berasal dari pelbagai latar belakang, dengan situasi keluarga yang berbeza.

Ada kalanya mereka tidak memahami cara mengawal emosi.

“Kami akan berbual dengan mereka, kerana mungkin bagi kanak-kanak kecil, agak susah untuk mereka luahkan perasaan dan jelaskannya kepada kami.

“Dari situ, kami akan cuba faham melalui gerak-geri mereka,” kata Cik Zaina.

Cabaran itu memberi Cik Zaina peluang menjalin hubungan erat bersama anak-anak titipannya, hingga terasa seolah-olah beliau adalah ibu kandung mereka sendiri.

Malah, setiap ibu titipan sedar akan satu hakikat yang sukar – anak-anak itu akhirnya akan kembali ke pangkuan keluarga kandung mereka.

Setelah lima tahun membesarkan anak titipan, pastinya sukar menerima kenyataan bahawa tempoh mereka bersama telah berakhir.

“‘Mama, kenapa Mama tak lahirkan saya? Kenapa Mak (kandung) saya tak jaga saya? Kenapa Mama yang jaga saya?’ Itulah kata-kata yang saya tak akan lupakan, ketika saya pulangkan anak titipan pertama saya kepada keluarganya,” kata Cik Zaina.

Namun, pengalaman perpisahan itu tidak mematahkan semangatnya.

Malah, ia menguatkan tekad Cik Zaina untuk terus mencurahkan kasih ibu kepada kanak-kanak lain yang memerlukan.

Menurut Encik Asiek, hubungan Cik Zaina dengan anak titipan mereka amat rapat – sesuatu yang hanya seorang ibu mampu berikan.

Dedikasi Cik Zaina sebagai seorang ibu begitu mendalam dan beliau ingin terus memberi kanak-kanak peluang untuk disayangi dan diberi tempat tinggal yang selesa.

Demi anak-anak mereka, Cik Zaina dan Encik Asiek telah berpindah ke sebuah rumah lebih besar untuk memastikan anak-anak mereka diberi ruang yang cukup untuk bermain.

Bilik anak-anak mereka juga dihias dengan pelbagai permainan, gambar kenangan dan cenderamata daripada percutian bersama.

Setiap Hari Ibu, Encik Asiek akan menghasilkan kad istimewa bersama anak-anaknya sebagai tanda penghargaan kepada Cik Zaina.

Cik Zaina bertekad untuk terus menjadi ibu titipan, dan menyimpan harapan untuk mengambil anak angkat satu hari nanti.

“Kita boleh sayang mereka dan ajar mereka perkara yang baik.  Pada saya, ini semua datang dengan semula jadi. Mungkin sebelum ini, mereka tidak menerima kasih sayang yang cukup, jadi mereka rasa dihargai bila kami menyayangi mereka.” 
Cik Zaina Zainal, pembantu pergigian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg