Sebagai ibu bapa yang bekerja, setiap hari Cik Nur Fariza Ahmad Razif dan Encik Muhammad Syarifuddin Abdul Kadir juga sibuk menguruskan anak-anak, kerja rumah dan juga tugas menjalankan pekerjaan masing-masing.

Pasangan itu – kedua-duanya berusia 39 tahun – memiliki tiga cahaya mata berusia tiga, 10 dan 12 tahun.

Rutin mereka setiap hari dari Isnin hingga Jumaat adalah sama – bangun pada 5.30 pagi untuk siapkan anak-anak ke sekolah sebelum mereka pergi ke tempat kerja masing-masing.

Menjelang 6 petang, kesemua lima beranak itu sudah pulang ke rumah dan itulah waktu Cik Fariza dan Encik Syarifuddin meluangkan masa bersama tiga cahaya mata mereka.

“Kami bantu anak-anak dengan kerja sekolah mereka, makan malam dan rehat bersama sebelum anak-anak masuk tidur pada 9 malam.

“Jadi, sebenarnya masa yang kami ada bersama anak-anak itu agak singkat – cuma tiga jam setiap hari.

“Hujung minggu pula, anak-anak saya ada kelas tuisyen, kelas pengayaan dan juga latihan sukan.

“Masa memang sentiasa jadi cabaran tetapi kami sekeluarga tetap mencari ruang dan peluang untuk meluangkan masa bersama-sama, contohnya, kami ada movie nights dan board game nights,” kata Cik Fariza, yang bekerja sebagai pengetua pekerja sosial.

Mujur, bagi peranan kerja Cik Fariza, terdapat hari-hari bekerja dari rumah yang amat membantu dan membolehkan beliau meluangkan lebih sedikit masa bersama anak-anak.

Namun begitu, Cik Fariza berkata terdapat beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan lagi bagi membantu ibu bapa yang bekerja mempunyai lebih banyak masa dengan anak-anak.

Antaranya adalah fleksibiliti dan majikan yang lebih memahami di tempat kerja.

Cik Fariza berkata kadangkala terdapat situasi di mana ada mesyuarat di tempat kerja yang berlarutan sehingga boleh menjadi satu tekanan bagi si ibu atau bapa yang perlu ambil anak pulang dari sekolah atau pusat penjagaan pada lewat petang.

Selain itu, beliau menyarankan agar cuti penjagaan anak-anak dapat ditambah melebihi sehingga enam hari yang diperuntukkan hari ini.

Ini terutamanya akan membantu ibu bapa dengan anak-anak di peringkat persekolahan yang berbeza, katanya.

Selain masa, satu lagi cabaran adalah dari segi perbelanjaan, bukan hanya dari segi barang keperluan rumah tetapi juga dalam kos pendidikan dan pembangunan anak-anak kerana mereka mahu memberikan permulaan yang terbaik dalam kehidupan mereka, kata Cik Fariza.

Antara perkara yang beliau rasa pemerintah boleh mempertimbangkan adalah dengan menyediakan subsidi yang lebih diselaraskan merentas semua jenis prasekolah, termasuk pusat Pengendali Utama (AOP), pusat Pengendali Rakan Kongsi (POP) dan pusat privet agar wujud peluang yang saksama buat semua kanak-kanak.

“Harapan bagi keluarga kami sebenarnya mudah – kami hanya mahu membesarkan anak-anak, memberi mereka pelbagai peluang, serta menjadi ibu bapa yang sentiasa hadir dalam kehidupan mereka,” kata beliau.

“Sungguhpun wujud kebimbangan mengenai masa depan anak-anak, saya tetap berharap Singapura akan terus menjadi tempat yang baik dan selamat untuk mereka membina keluarga sendiri kelak,” tambahnya.