Singapura sedang memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan persekitaran yang menyokong institusi kekeluargaan, berbanding hanya menumpukan kepada peningkatan kadar kelahiran semata-mata, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ia adalah sebahagian usaha negara ini dalam menangani isu Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) penduduk Singapura yang rendah – yang merosot ke paras terendah baharu pada 0.87 bagi 2025, lebih rendah berbanding 0.97 pada 2024.

Ketika menyampaikan pengamatannya di dialog, Siri Penceramah Terkemuka Singapore Press Club, dengan topik ‘Singapura pada Usia 61: Apakah yang Menanti di Hadapan?’, yang diadakan di SPH Media pada 8 Jun, Encik Wong berkata keluarga adalah tonggak utama masyarakat dan Singapura mahu menjadi sebuah tempat yang mesra dan sesuai bagi keluarga berkembang maju.

“Ia adalah satu peralihan daripada idea memberikan insentif bagi perkahwinan dan mempunyai anak, sebaliknya lebih memikirkan tentang apakah langkah yang boleh kita ambil untuk benar-benar menjadikan kehidupan lebih baik bagi keluarga di Singapura.

“Bagi ibu bapa muda, apakah kebimbangan mereka mengenai kos, mengenai penjagaan bayi, penjagaan kanak-kanak, mengenai pendidikan, dan mengenai perumahan?

“Kemudian kita fikirkan bagaimana kita boleh mempertingkat pelbagai aspek berbeza ini yang amat penting bagi mereka.

“Selepas melakukan perkara itu, kita mungkin tidak akan mendapat lebih ramai bayi, tetapi ia tetap berbaloi untuk dilakukan. Jadi, itulah pendekatan kita,” kata Encik Wong yang juga Menteri Kewangan.

Singapura telah membentuk sebuah Kumpulan Kerja Tetapan Semula Perkahwinan dan Keibubapaan untuk meneliti faktor yang mempengaruhi perkahwinan dan keibubapaan.

Kumpulan itu, yang dipengerusikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, akan membentangkan hasil dapatan penuh mereka pada awal 2027.

Sesi dialog itu, yang disampaikan oleh Yayasan SPH, dikendalikan moderator, Naib Presiden Singapore Press Club dan Editor Bersekutu di akhbar The Straits Times (ST), Encik Zakir Hussain.

Sekitar 250 karyawan media, termasuk editor, wartawan serta tetamu undangan, menghadiri dialog tersebut.

Encik Wong telah menjawab pelbagai soalan yang diutarakan berhubung isu dan cabaran luaran dan domestik bagi Singapura.

Antara lain, beliau ditanya mengenai peluang pekerjaan yang diberikan kepada pekerja bukan penduduk dan kesannya terhadap ‘kad laporan’ pemerintah.

Menjawab soalan tersebut, Encik Wong berkata seseorang tidak seharusnya hanya melihat pada data pekerjaan suku tahunan, sebaliknya perlu melihat pada pasaran pekerja secara keseluruhan.

“Lihatlah pada keseluruhan masyarakat dan lihatlah pada akhirnya sama ada rakyat Singapura benar-benar menikmati kehidupan yang lebih baik atau tidak,” ujarnya.

Pada akhirnya, rakyat Singapura sendiri yang akan menentukan sama ada pemerintah telah menjalankan tugas dengan baik atau tidak, tambah beliau.

“Dalam sistem demokrasi kita, kita mempunyai pemerintah yang kukuh dan tegas, namun ia sentiasa dipertanggungjawabkan.

“Kesudahannya, kita menunjukkan kepada rakyat Singapura apa yang telah kita capai, dan rakyat Singapura yang akan menentukan pemerintah mana yang mereka mahukan (untuk) berkhidmat kepada mereka.

“Begitulah cara Singapura berfungsi, dan begitulah cara Singapura terus mengecapi kejayaan sepanjang tahun-tahun ini,” kata beliau.