Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa perlu didik anak keselamatan perbankan digital

Oct 20, 2024 | 6:54 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling (tengah) bersama ketua eksekutif kumpulan OCBC, Cik Heleng Wong (kanan) dan ketua khidmat kewangan pengguna sejagat OCBC, Encik Sunny Quek (kiri) semasa majlis pelancaran Akaun MyOwn OCBC di Wisma Atria pada 20 Oktober.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling (tengah) bersama ketua eksekutif kumpulan OCBC, Cik Heleng Wong (kanan) dan ketua khidmat kewangan pengguna sejagat OCBC, Encik Sunny Quek (kiri) semasa majlis pelancaran Akaun MyOwn OCBC di Wisma Atria pada 20 Oktober. - Foto OCBC

Risiko penipuan yang menyasarkan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat sedang Singapura dakap pendigitalan dengan penggunaan wang tunai fizikal semakin berkurangan, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.

Lantaran itu, meskipun penting untuk mendidik anak mengurus akaun bank mereka dan membuat keputusan kewangan secara berdikari, ibu bapa perlu sentiasa berwaspada terhadap risiko yang ada.

Bercakap semasa majlis pelancaran Akaun MyOwn OCBC – akaun bank OCBC pertama untuk kanak-kanak dan remaja berusia tujuh hingga 15 tahun – di Wisma Atria pada 20 Oktober, Cik Sun berkata:

“Daripada pembayaran tanpa sentuh kepada transaksi dalam talian, cara anak-anak kita melihat dan mengurus wang sangat berbeza berbanding generasi terdahulu. Mereka mudah terlupa bahawa pembayaran digital sebenarnya berkaitan dengan wang dan simpanan sebenar. 

“Oleh itu, penting untuk kita membantu anak-anak memahami bahawa setiap kali mereka membuat pembayaran, ia mempunyai kesan kewangan yang nyata,” jelas Cik Sun yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Antara Kementerian mengenai Penipuan (IMCS). 

Beliau akur bahawa “belia dewasa ini lebih aktif di ruang digital” dan kadangkala “kurang berpengalaman dalam menangani tingkah laku yang mencurigakan”, menyebabkan mereka “menjadi sasaran penipuan tanpa menyedarinya”.

“Kemudahan transaksi dalam talian juga meningkatkan kemungkinan untuk menjadi mangsa penipuan kerana wang boleh dipindahkan dengan cepat,” tambah Cik Sun.

Dalam hal ini, Cik Sun berkata usaha melindungi golongan itu oleh OCBC dalam melancarkan Akaun MyOwn ialah langkah yang tepat.  

Antara lain, akaun itu menerapkan ciri perbankan seperti kunci wang yang membolehkan seseorang menyimpan wang dengan selamat dan akses hanya diberikan selepas pengesahan identiti.

Ia juga memperkenalkan papan pemuka yang membolehkan ibu bapa memantau urus niaga mencurigakan, memberi perlindungan tambahan kepada pengguna muda manakala ciri ‘kill switch’ pula akan menyekat akaun dan kad seandainya maklumat perbankan atau kad dicuri.  

Akaun itu juga hanya boleh dibuka ibu bapa yang diberikan akses penuh untuk memantau aktiviti akaun anak secara masa nyata melalui papan pemuka di aplikasi mereka. 

Selain itu, hanya ibu bapa yang boleh menetapkan had transaksi harian untuk akaun dan kad debit bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan.

Kanak-kanak dan remaja tidak mempunyai akses untuk mengubah had ini melalui aplikasi mereka sendiri. 

Cik Sun turut menarik perhatian tentang program cerdik kewangan melalui aplikasi digital, yang diperkenalkan OCBC sejajar dengan pelancaran akaun tersebut.

Program tersebut bertujuan membantu pengguna muda (tujuh hingga 15 tahun) membentuk tabiat kewangan yang baik dari usia yang muda dengan memberi mereka pemahaman mengenai asas pengurusan kewangan seperti bajet dan memantau perbelanjaan.  

Menurut OCBC, ia menyasarkan 100,000 pendaftaran akaun dalam tempoh setahun ia dibuka.

Sekitar 8,000 akaun bank telah dibuka sejak ia diumumkan pada September, tambah OCBC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg