Sedang pemerintah membantu setiap anak merealisasikan potensi penuh mereka dengan terus memperbaiki sistem pendidikan, ibu bapa juga perlu memainkan peranan, menurut Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap di Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, Encik Wong berkata penting untuk memberi tumpuan semula kepada objektif pendidikan, iaitu mencetus kegembiraan terhadap pembelajaran dan membantu setiap kanak-kanak mencapai potensi penuh mereka.
Peka akan keprihatinan golongan ibu bapa, beliau berkata:
“Semua ibu bapa ingin anak-anak mereka mempunyai permulaan baik dalam kehidupan. Jadi kita letak sedikit tekanan ke atas mereka agar berusaha gigih dan mencabar tahap diri mereka. Namun terlalu banyak tekanan akan mendatangkan lebih mudarat daripada kebaikan. Ia boleh menghapuskan kegembiraan pembelajaran pada tahap awal dalam kehidupan.
“Ini adalah percanggahan dan ketegangan yang semua ibu bapa hadapi. Ia tidak boleh dileraikan menerusi dasar sahaja. Kita perlu menangani ini bersama sebagai satu masyarakat.”
Memberi contoh, Encik Wong berkata walaupun Kementerian Pendidikan (MOE) telah menyatakan bahawa “setiap sekolah adalah sekolah yang baik”, tidak semua ibu bapa yang yakin, dengan ada yang meminta bantuannya dalam rayuan ke sekolah tertentu bagi anak mereka.
Memberi jaminan, Encik Wong berkata pemerintah komited untuk melakukan yang terbaik buat setiap sekolah.
Setiap anak, katanya, akan mendapat pendidikan baik tidak kira sekolah yang mereka hadiri mahupun kebolehan mereka yang berbeza-beza.
“Kami menjaga mereka semua – bukan sahaja pelajar berkebolehan tinggi pada peringkat awal dan pelajar bijak; tetapi mereka yang juga seperti saya – membesar dalam kawasan estet perumahan, menghadiri tadika PCF dan sekolah kejiranan.
“Apa pun titik permulaannya, kami akan membantu semua belajar, membangun dan berkembang, dan merealisasikan potensi penuh mereka,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg