Lulusan Higher Nitec Encik Mohamed Irfan Rahim tamat pengajiannya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dalam jurusan Reka Bentuk Kejuteraan Struktur dan Sivil pada 2016.
Namun, minat dalam bidang teknologi maklumat (IT) mula berputik, mendorongnya untuk pergi lebih jauh.
Baru-baru ini, beliau mendaftarkan diri dalam Diploma Kerja dan Belajar ITE dalam Infrastruktur dan Operasi Pusat Data.
Dengan Anugerah Kemajuan ITE yang diterimanya, Encik Irfan akan mendapat tokokan $5,000 dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) beliau, dan setelah berjaya meraih diploma itu, beliau akan diberi tokokan $10,000 ke dalam Akaun Biasa Tabung Simpanan Pekerja (CPF) beliau.
Encik Irfan merupakan antara lulusan ITE yang diberi perhatian oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan mendapat sokongan untuk maju dalam kerjaya serta meraih gaji lebih tinggi.
Melahirkan harapan agar lebih ramai lulusan ITE mengikut jejak langkah Encik Irfan untuk meningkat kemahiran mereka, Encik Wong berkata:
“Sesetengah pelajar lebih berbakat dalam kemahiran vokasional dan teknikal, dan lebih berupaya mengaplikasikan kebolehan mereka dalam sekitaran praktikal dan amali.”
ITE dan politeknik, yang menyediakan laluan tersebut sedang melakukan kerja yang cemerlang dalam melengkapi pelajar dengan kemahiran yang relevan buat industri, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg