Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemahiran amali, insaniah dihargai sama seperti kebolehan intelek

Program Pendidikan Bijak bagi pelajar kebolehan lebih tinggi bakal diperbaharui setelah 40 tahun
Aug 18, 2024 | 10:36 PM
Sistem pendidikan Singapura telah berubah untuk menyediakan berbilang laluan supaya setiap pelajar dapat berkembang maju, tidak kira sekolah yang dihadiri mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan sulungnya pada 18 Ogos.
Sistem pendidikan Singapura telah berubah untuk menyediakan berbilang laluan supaya setiap pelajar dapat berkembang maju, tidak kira sekolah yang dihadiri mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan sulungnya pada 18 Ogos. - Foto MOE

Walaupun banyak penekanan telah diberi kepada kemahiran intelektual pada masa lalu, Singapura kini turut menghargai kemahiran lain, termasuk kemahiran amali dan kemahiran insaniah, selain seni dan sukan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan sulungnya pada 18 Ogos.

Ini sedang beliau menggambarkan bagaimana sistem pendidikan Singapura telah berubah untuk menyediakan berbilang laluan supaya setiap pelajar dapat berkembang maju, tidak kira sekolah yang dihadiri mereka.

Seiring itu, Encik Wong mengumumkan bahawa satu pendekatan baru akan diperkenal bagi mengembangkan potensi pelajar berkebolehan lebih tinggi di semua sekolah, dengan Program Pendidikan Bijak (GEP) menjalani pembaharuan setelah empat dekad.

GEP diperkenalkan pada 1984 untuk membantu pelajar bijak dari segi intelektual agar mencapai potensi penuh mereka.

Program sedia ada yang mengenal pasti pelajar, menarik mereka keluar dan menempatkan mereka di sembilan sekolah rendah khusus itu, akan dihentikan.

Sebaliknya, semua sekolah rendah akan menjalani program sendiri bagi membangunkan potensi pelajar sebegini berdasarkan kekuatan dan minat mereka.

Mengulas lanjut tentang pembaharuan bagi program tersebut, Encik Wong berkata sekolah akan dilengkapi kemahiran mengenal pasti pelajar bijak supaya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

Ini membolehkan pelajar untuk meneruskan pendidikan dalam sekolah rendah mereka dan berada di samping rakan dan guru yang mereka telah jalinkan hubungan bersama, kata Encik Wong.

Melebihi program berasaskan sekolah, terdapat beberapa pelajar yang boleh mengembangkan potensi mereka dalam subjek tertentu.

“Mereka boleh berkumpul untuk modul pengayaan selepas sekolah di sekolah berdekatan, untuk belajar dan berinteraksi dengan satu sama lain,” ujarnya.

Pada 2004, GEP bagi peringkat sekolah menengah telah diubah daripada program berpusat kepada yang memperkasa sekolah agar menjalankan program berbeza bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar bijak.

Ini, kata Encik Wong, telah membuahkan hasil yang baik.

Butiran lanjut mengenai pembaharuan GEP di peringkat sekolah rendah bakal dikongsi oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, kelak.

Menggariskan komitmen pemerintah untuk memberi yang terbaik buat semua pelajar, Encik Wong berkata infrastruktur dan sekitaran pembelajaran di semua sekolah akan dipertingkat.

Ini termasuk penggunaan teknologi lebih baik buat pembelajaran, selain mereka semula perpustakaan, makmal sains dan ruang pembelajaran.

Bagi sekolah yang menangani lebih ramai pelajar kurang bernasib baik atau yang mempunyai keperluan pembelajaran lebih tinggi, pemerintah akan menyediakan lebih sokongan dari segi sumber, pembiayaan, guru dan kakitangan.

Pelajar juga akan dibantu lebih supaya dapat membina rangkaian sosial yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang, katanya.

“Pada masa lalu, kami mungkin meletakkan banyak penekanan ke atas kemahiran kepala – kuasa otak, kebolehan analitikal dan pengetahuan intelektual. Kini, kami menghargai kemahiran lain sama rata – kemahiran tangan, termasuk dalam ketukangan dan kepakaran teknikal; dan kemahiran jiwa, yang diperlukan dalam banyak peranan genting yang memerlukan perasaan empati dan hubungan manusia,” katanya.

Bidang seni dan sukan juga tidak patut diabaikan, tambah Encik Wong, sambil menukil pembentukan Universiti Seni Singapura – universiti privet yang disokong pemerintah hasil pakatan antara Maktab Seni Lasalle dengan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Selain menyokong rancangan pembangunannya bagi kemudahan baru, pemerintah juga akan menyediakan geran sepadan bagi usaha mengumpul dana mereka selain subsidi bagi pelajar Singapura dalam universiti tersebut, sama seperti pelajar dalam universiti berautonomi.

“Jadi apabila kami bercakap tentang berbilang laluan, kami benar-benar serius mengenainya – kami menyokong matlamat ini dengan sumber, dan komited sepenuhnya kepada memupuk kebolehan pelbagai setiap warga Singapura,” katanya.

Pada masa lalu, kami mungkin meletakkan banyak penekanan ke atas kemahiran kepala – kuasa otak, kebolehan analitikal dan pengetahuan intelektual. Kini, kami menghargai kemahiran lain sama rata – kemahiran tangan, termasuk dalam ketukangan dan kepakaran teknikal; dan kemahiran jiwa, yang diperlukan dalam banyak peranan genting yang memerlukan perasaan empati dan hubungan manusia.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg