Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu berpantang dalam suasana mewah, dapatkan khidmat pakar

Semakin ramai ibu Melayu S’pura inap di pusat berpantang, atau dapat khidmat penjaga
Jan 12, 2025 | 5:30 AM
Lebih ibu kini mendapatkan khidmat penjagaan bayi dan ibu berpantang dengan mengupah penjaga ataupun mendaftarkan diri ke pusat berpantang.
Lebih ibu kini mendapatkan khidmat penjagaan bayi dan ibu berpantang dengan mengupah penjaga ataupun mendaftarkan diri ke pusat berpantang. - Grafik oleh IFFAH QISTINA IRWAN

Walaupun membelanjakan sekitar $13,000 untuk tinggal di pusat berpantang bagi penjagaan selepas bersalin, Cik Maslina Nordin tidak teragak-agak untuk menggunakan perkhidmatan itu lagi jika ada peluang.

Meskipun beliau, kini 40 tahun, akur harga perkhidmatan itu tinggi, penjagaan selepas bersalin selama sebulan yang diterimanya di pusat itu pada 2023 sangat berbaloi dan membantu pemulihannya dengan baik.

“Saya sangat letih selepas bersalin lebih-lebih lagi setelah melalui pembedahan Caesarean, dan menetap di pusat berpantang memberi saya masa rehat dan pemulihan yang saya perlukan.

“Kaunselor laktasi, lima hidangan makanan setiap hari, dan urut lepas bersalin memberikan kesan yang besar dalam pemulihan fizikal dan emosi saya,” kata ibu yang memilih pusat berpantang Clover Suites di East Coast untuk penjagaan selepas melahirkan anak tunggalnya yang kini berusia dua tahun.

Seorang lagi ibu, Cik Iffa Khalisa Ishak, memilih mendapatkan khidmat penjaga bayi dan ibu berpantang menginap di rumahnya selama sebulan.

“Penjaga saya bukan sahaja membantu saya dengan urusan penyusuan dan jadual tidur bayi saya, malah memberi panduan cara menjaga bayi saya. Beliau sangat membantu pada minggu-minggu pertama yang mencabar selepas bersalin,” ujar Cik Iffa, 31 tahun, yang mendapatkan khidmat itu beberapa tahun lalu untuk anak sulungnya. Kini beliau mempunyai dua anak.

Cik Iffa dan Cik Maslina antara ibu Melayu yang mendapatkan penjagaan profesional selepas bersalin, sama ada di pusat khas mahupun menerusi agensi perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu berpantang. Meskipun bilangan ibu Melayu yang mendapatkan khidmat ini kecil, angkanya semakin meningkat, kata penyedia khidmat.

Trend ini mewakili peralihan daripada pendekatan tradisional masyarakat Melayu, dengan ibu atau ibu mentua biasanya memainkan peranan utama dalam menyokong ibu semasa tempoh berpantang mereka.

Dari generasi ke generasi, sokongan keluarga ini dianggap sebagai cara mengeratkan hubungan dan mewarisi pengetahuan penjagaan. Namun, norma budaya secara perlahan-lahan berubah.

Pengurus pusat berpantang Clover Suites di Singapura Cik Xinni Ng mengongsi bahawa pusat itu mula menerima klien Melayu sejak 2023. Pada 2025, mereka telah menerima hingga lima tempahan oleh klien Melayu di pusat berpantang tersebut, berbanding satu klien Melayu pada 2023, dan dua pada 2024.

Ketua Pegawai Pelaburan dan Ketua Pegawai Operasi pusat berpantang LYC Mother & Child Centre, Cik Yan Tong Lim, berkata: “Trend berpantang Melayu kini dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran, termasuk perubahan ekonomi, pengaruh media sosial, dan trend kesihatan serta kesejahteraan.

“Kesedaran semakin meningkat tentang kehadiran dan manfaat penjagaan berpantang profesional, dengan sokongan dan saranan daripada pelanggan berpuas hati.”

Cik Yan juga berkongsi bahawa klien Melayu di pusat berpantang itu membentuk sekitar 10 peratus klien keseluruhannya dan beliau memerhatikan bahawa angka itu mula meningkat sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Cik Teo Mei Ling, pengasas dan ketua pegawai eksekutif My Queen, pusat berpantang di Sentosa, trend pusat berpantang ini baru sahaja meningkat di Singapura berbanding negara lain seperti Malaysia, China dan Korea.

“Kami percaya terdapat potensi dari segi permintaan dalam masyarakat ini, terutama sedang kesedaran meningkat tentang manfaat penjagaan selepas bersalin yang disesuaikan secara peribadi,” ujar Cik Teo.

Kini terdapat sekitar 15 pusat berpantang di Singapura.

Pusat berpantang Clover Suites, yang mempunyai dua cawangan di East Coast dan Moulmein Road, menawarkan perkhidmatan yang disesuaikan untuk pemulihan selepas bersalin termasuk mandian herba, hidangan berkhasiat, dan penjagaan bayi sepanjang masa.

“Kemudahan-kemudahan ini membolehkan ibu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pemulihan tanpa tekanan fizikal dan mental.

“Kami melihat peningkatan kecenderungan untuk menggabungkan penjagaan tradisional dan moden. Ramai ibu menghargai keselesaan amalan tradisional seperti ubatan herba dan urutan, yang dilengkapi dengan kemudahan moden, sokongan laktasi dan pemantauan perubatan profesional,” kata Cik Ng.

Selain itu, terdapat ibu yang mencari perkhidmatan dari agensi berpantang yang menawarkan perkhidmatan menjaga bayi dan ibu berpantang di rumah.

Bagi Cik Indah Zafirah, pengasas dan pemilik agensi penjaga berpantang Ratu Confinement di Singapura, beliau memerhatikan lebih ramai yang menitikberatkan penjagaan selepas bersalin dan mendapatkan khidmat penjagaan bayi dan ibu berpantang.

“Saya percaya trend ini timbul daripada realiti dihadapi ramai ibu, termasuk saya, yang masih bekerja atau sudah berusia. Mereka mungkin tidak dapat memberikan penjagaan diperlukan kerana komitmen kerja atau kewajipan peribadi.

“Mengupah penjaga berpantang mengurangkan tekanan berkaitan dengan menjalani perjalanan sebagai ibu tanpa bimbingan ibu bapa kita sendiri,” kata Cik Indah.

“Kami menyediakan bidan berpantang yang berpengalaman untuk membantu ibu baru di rumah mereka. Ini adalah pilihan lebih fleksibel untuk mereka yang mahu tetap berpegang kepada tradisi sambil menerima bantuan profesional dalam sekitaran sendiri yang selesa,” tambah Cik Indah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg