Bagi seorang ibu kali pertama, ketibaan bayi perempuannya, Alyssa Abdul Hadi, pada Mei 2023 adalah saat kegembiraan yang besar dan permulaan lembaran hidup baru.
Namun, tanpa pengalaman awal dalam bidang keibuan dan sokongan keluarga yang terhad, Cik Maslina Nordin mendapati dirinya melalui pengalaman yang belum pernah ditempuh.
Keputusan untuk menginap di pusat berpantang, Clover Suites di East Coast, menjadi satu pengalaman yang penting dalam perjalanannya selepas bersalin.
“Saya memilih Clover Suites kerana saya tidak mempunyai sesiapa yang berpengalaman untuk membimbing saya semasa berpantang,” kongsi Cik Maslina kepada Berita Minggu (BM).
Adik-beradiknya lain yang belum berumah tangga justeru tidak berpengalaman, dan ibu Cik Maslina pula berkerusi roda lantas tidak dapat memberikan sokongan fizikal yang diperlukan.
Cik Maslina dan suaminya, Encik Abdul Hadi Abdullah Samad, memutuskan bahawa privasi dan penjagaan profesional yang ditawarkan oleh pusat berpantang adalah pilihan terbaik.
Kali pertama pekerja pentadbir berusia 40 tahun itu melawat pusat berpantang Clover Suites adalah semasa trimester pertama pada 2022, rujukan daripada pengalaman rakan-rakan berbangsa Cinanya.
“Kakitangan Clover Suites menyambut saya dengan tangan terbuka, dan itu meninggalkan kesan yang positif. Saya juga rasa selesa dan suka melihat hiasan pusat berpantang itu,” ujar beliau.
Menurut Clover Suites, Cik Maslina ialah klien Melayu/Islam pertama pusat itu.
Pada mulanya, Cik Maslina prihatin tentang pilihan makanan halal. Namun, Clover Suites memastikan penginapan Cik Maslina diaturkan dengan keperluan makanan halal daripada katering halal berbeza.
Memilih pakej bilik deluxe, Cik Maslina menginap di pusat tersebut selama 28 hari, dan membayar sekitar $13,000.
Ini termasuk hidangan makanan lima kali sehari, sokongan perubatan seperti sesi urut laktasi (perembesan susu daripada kelenjar susu) dan bantuan untuk si ibu sepanjang masa.
Cik Maslina menghargai perkhidmatan holistik yang ditawarkan, termasuk urutan badan dan rawatan wajah yang membantu beliau kembali berasa normal.
Cik Maslina menyifatkan penginapan itu sebagai pengalaman yang tidak ternilai.
Beliau berkata: “Sebagai ibu kali pertama yang tidak mempunyai pengalaman, saya rasa kakitangan kejururawatan pusat ini amat menyokong keadaan saya.
“Memandangkan saya telah melalui pembedahan Caesarean, khidmat di pusat berpantang membolehkan saya berehat sepenuhnya sambil meluangkan masa bersama Alyssa tanpa rasa tertekan.”
Cik Maslina memahami bahawa dirinya harus pulih secepat mungkin sebelum dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bayi beliau.
“Saya amat menghargai pertolongan yang ditawarkan. Sejujurnya, saya tidak tahu bagaimana untuk menjaga luka pembedahan ini dan mereka membimbing dan mengajar saya,” tambah Cik Maslina yang cepat menyesuaikan diri dalam persekitaran baru itu.
Oleh kerana melalui pembedahan Caesarean, Cik Maslina juga mengalami masalah bengkak susu pada awalnya.
Urutan laktasi di pusat tersebut ternyata sangat membantu dalam melegakan ketidakselesaannya dan kemudian memulakan rutin penyusuan ibu.
Mengimbau kembali masanya di pusat tersebut, Cik Maslina melahirkan rasa syukur. Baginya, setiap dolar merupakan pelaburan penjagaan selepas bersalin yang sangat berbaloi.
“Semuanya sempurna. Kakitangan yang melayan kami sangat baik dan saya rasa sangat dijaga.
“Saya tidak kecewa dengan pilihan untuk ke pusat berpantang, malah ia memberi saya keyakinan sebagai ibu baru,” katanya yang akur telah meraih banyak pelajaran menjaga bayi semasa penginapannya.
Bagi mereka yang mempunyai lebih rezeki, Cik Maslina mengesyorkan supaya mendapatkan khidmat daripada pusat berpantang.
“Jika saya ada rezeki untuk anak kedua, saya akan kembali menginap di pusat berpantang. Saya akur ia tidak murah tetapi khidmat penjagaannya luar biasa dan saya dapat istirahat sepenuhnya.
“Melahirkan anak adalah pengalaman yang mengubah hidup, dan oleh itu, penjagaan selepas bersalin di pusat berpantang sangat berharga dan tidak boleh diganti,” ujar beliau.
“
Sebagai ibu kali pertama yang tidak mempunyai pengalaman, saya rasa kakitangan kejururawatan pusat ini amat menyokong keadaan saya. Memandangkan saya telah melalui pembedahan Caesarean, khidmat di pusat berpantang membolehkan saya berehat sepenuhnya sambil meluangkan masa bersama Alyssa tanpa rasa tertekan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg