Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permintaan bagi khidmat pantang ‘moden’ ibu baru bersalin meningkat

Ibu Melayu/Islam semakin terbuka dapat khidmat penjaga berpantang atau inap di pusat khas
Jan 12, 2025 | 5:30 AM
Penjaga ibu berpantang menjalani latihan sebelum dihantar ke rumah ibu yang baru bersalin.
Penjaga ibu berpantang menjalani latihan sebelum dihantar ke rumah ibu yang baru bersalin. - Foto CONFINEMENT ANGELS
Seorang penjaga ibu berpantang sedang mengurus bayi.
Seorang penjaga ibu berpantang sedang mengurus bayi. - Foto FATIN CONFINEMENT CARE

Dengan kesedaran yang meningkat terhadap pentingnya tempoh berpantang ibu baru bersalin, khidmat penjagaan berpantang seperti penjaga ibu berpantang atau ‘confinement nanny’, mahupun pusat berpantang, semakin menjadi pilihan golongan ibu.

Lazimnya sejak zaman dahulu, si ibu akan memilih berpantang di rumah ibu bapa atau mentua.

Namun pada era moden kini, ada ibu yang selesa berpantang sendirian di rumah sendiri dengan bantuan ‘confinement nanny’ atau penjaga berpantang.

Malah ada yang sanggup mengeluarkan belanja lebih besar untuk menginap di pusat berpantang.

Menurut beberapa agensi perkhidmatan berpantang yang dihubungi Berita Minggu (BM), permintaan bagi khidmat penjaga ibu berpantang mahupun pusat berpantang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

PERALIHAN CARA PANTANG IBU MELAYU MODEN

Pusat berpantang Singapura Clover Suites di 697 East Coast Road akui bahawa walaupun bilangan klien Melayu/Islam kecil, ia telah meningkat beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2023, mereka menerima seorang klien Melayu, dan jumlah ini meningkat kepada dua pada tahun seterusnya.

Bagi 2025, pusat itu menerima hingga lima tempahan, yang menurut Cik Xinni Ng, pengurus pusat tersebut, adalah “trend positif yang menunjukkan semakin ramai keluarga Melayu/Islam menerima penjagaan berpantang profesional”.

Pusat berpantang My Queen di Palawan Ridge, Sentosa juga telah menerima sejumlah pertanyaan daripada ibu Melayu/Islam, walaupun akui skalanya lebih kecil berbanding dengan bangsa lain.

“Kami percaya terdapat potensi dari segi permintaan dalam masyarakat ini, terutama sedang kesedaran meningkat tentang manfaat penjagaan selepas bersalin yang disesuaikan secara peribadi,” ujar Cik Teo Mei Ling, pengasas dan ketua pegawai eksekutif My Queen.

Justeru, pusat berpantang di Singapura seperti Clover Suites dan My Queen sedang merancang untuk menawarkan pilihan lebih luas supaya dapat memenuhi keperluan golongan Melayu/Islam.

Antaranya dengan menyediakan makanan berpantang yang halal dan terapi selepas bersalin yang bersesuaian mengikut budaya Melayu.

Dalam pada itu, agensi penjagaan berpantang setempat Confinement Angels telah menyaksikan permintaan khidmat daripada keluarga Melayu meningkat, dan mereka terbuka menerima penjaga untuk menginap di rumah mereka tanpa mengira bangsa penjaga tersebut.

Menurut agensi itu, makanan halal selalunya tidak menjadi masalah kerana penjaga yang dipadankan akan memasak hidangan berdasarkan bahan halal yang sudah tersedia di rumah klien.

Penjaga ibu berpantang yang dikenali sebagai Cik Meoi, menguruskan bayi kepada Cik Zafirah Hamizah Zulkifli (tiada dalam gambar) di rumahnya.
Penjaga ibu berpantang yang dikenali sebagai Cik Meoi, menguruskan bayi kepada Cik Zafirah Hamizah Zulkifli (tiada dalam gambar) di rumahnya. - Foto ZAFIRAH HAMIZAH ZULKIFLI

Cik Zafirah Hamizah Zulkifli, 33 tahun, merupakan antara ibu yang telah mendapatkan khidmat penjaga di rumahnya setelah bersalin anak kedua pada awal 2024.

“Ketika itu ibu dan mentua saya tidak dapat menjaga saya. Walaupun penjaga yang inap bersama saya bukan keluarga, sifat keibuannya terserlah dan beliau bersikap profesional.

“Bukan saya sahaja, bahkan suami saya juga dapat rehat yang mencukupi kerana beliau banyak bantu menguruskan keperluan harian saya dan bayi termasuk menyediakan makanan,” ujar guru prasekolah itu yang mendapatkan khidmat Confinement Mama.

Tinjauan BM mendapati bahawa kos purata untuk inap di pusat berpantang di Singapura berharga $23,000 selama 28 hari – bergantung pada lokasi pusat tersebut, kemudahan yang disediakan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Bagi ibu yang mendapatkan khidmat penjaga yang menginap di rumah mereka, harganya kira-kira $3,300 dengan $4,000 selama 28 hari.

WARGA S’PURA DAPATKAN KHIDMAT DARI JOHOR

Dengan kos menjadi salah satu faktor yang dipertimbangkan, sebilangan warga Singapura telah mendapatkan khidmat berpantang dari Johor Bahru, Malaysia yang dipercayai menawarkan harga lebih murah.

Ada yang sanggup ke seberang Tambak demi menginap di pusat berpantang di sana.

Harga pusat berpantang yang ditawarkan di Malaysia secara purata ialah RM5,000 ($1,525) hingga RM15,000 selama 28 hari tetapi pusat berpantang lebih mewah boleh mencecah RM30,000.

Menurut beberapa agensi khidmat berpantang di Johor Bahru yang dihubungi BM, warga Singapura merangkumi kira-kira 10 hingga 50 peratus daripada klien mereka.

Cik Yan Tong Lim, Ketua Pegawai Pelaburan dan Ketua Pegawai Operasi pusat berpantang LYC Mother & Child Centre yang mempunyai cawangan di Skudai, Johor Bahru berkata warga Singapura mungkin tertarik kepada perkhidmatan di Malaysia disebabkan kos yang lebih dimampui, dan juga kepelbagaian amalan berpantang tradisional.

“Jarak Johor Bahru juga dekat dengan Singapura, menjadikan ia mudah untuk keluarga ulang-alik sambil memastikan mereka dapat mengakses penjagaan yang diperlukan,” katanya.

Encik Gilbert Tan, pemilik B&B Confinement Home di Skudai, Johor Bahru berkata buat masa ini, mereka tidak menawarkan makanan halal kerana klien mereka sebahagian besarnya adalah bangsa Cina.

Namun, sejak kebelakangan ini, pusat berpantang itu menerima beberapa pertanyaan daripada pelanggan Melayu yang berminat.

“Terdapat potensi dalam pasaran ini dan kita boleh lihat perubahan dari segi budaya.

“Biasanya, ibu berpantang akan mendapatkan bantuan ibu mereka sendiri, tetapi lama-kelamaan sedang ekonomi bertambah baik, kuasa berbelanja individu meningkat dan gaya hidup meningkat.

“Masyarakat Melayu juga ingin mendapatkan khidmat lebih baik dan terbuka untuk teroka perkara baru,” ujarnya yang merancang membuka pusat berpantang yang menawarkan sajian halal pada masa akan datang.

Agensi yang menyediakan perkhidmatan penjaga ibu berpantang seperti Fatin Confinement Care, merancang meluaskan perniagaan mereka disebabkan permintaan meningkat daripada klien Singapura.

Pemilik Fatin Confinement Care, Cik Nurul Fatinsyarmila Rahim, berkata bahawa syarikatnya sedang meneroka kerjasama dengan syarikat di Singapura supaya dapat membekalkan penjaga ibu berpantang dari Malaysia.

“Di Malaysia, kami masih mengekalkan adat berpantang selepas bersalin dengan amalan seperti urut bersalin bertungku, mandian herba, berdiang, bertangas serta rawatan tradisional Melayu yang lain,” ujarnya.

Pegawai Perhubungan Awam dan Media Kreatif Lavender Confinement Care di Selangor, Encik Ahmad Alif Haiqal Azman, turut berkata bahawa mereka tetap menerima permintaan penjaga ibu berpantang dari Singapura setiap bulan walaupun pusatnya terletak pada jarak lebih jauh.

Sebanyak 95 peratus klien agensi tersebut merupakan ibu kali pertama yang tidak mahu membebankan ibu bapa mereka sendiri yang mungkin sudah tua, katanya.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), permit kerja untuk penjaga ibu berpantang yang berasal dari Malaysia adalah permit jangka pendek untuk sehingga 16 minggu bermula daripada tarikh ibu berkenaan bersalin.

Secara purata dari 2019 hingga 2021, masing-masing sebanyak 600, 700 dan 900 permit kerja diberikan setiap bulan kepada penjaga berpantang dari Malaysia – menandakan permintaan meningkat.

KHIDMAT JAGAAN BERPANTANG LEBIH MENYELURUH

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan jagaan berpantang di Singapura tidak mendapati bahawa perniagaan mereka terjejas.

Cik Teo berkata: “Konsep untuk ibu baru mendaftar masuk pusat berpantang setelah bersalin adalah amalan yang agak baru di Singapura berbanding negara lain seperti Malaysia, China, Korea.

“Dengan ketersediaan pusat berpantang setempat sekarang, kami menyaksikan kenaikan menggalakkan sebanyak 10 peratus dari tahun ke tahun dari segi permintaan ibu baru Singapura.

“Mereka mencari penjagaan berpantang menyeluruh meski terdapat persaingan dari Johor Bahru yang sudah wujud buat sekian lama.”

Bilik bayi di pusat berpantang My Queen di Palawan Ridge, Sentosa.
Bilik bayi di pusat berpantang My Queen di Palawan Ridge, Sentosa. - Foto MY QUEEN

Seiring itu, Cik Ng juga berkata bahawa jumlah klien di Clover Suites kekal stabil disebabkan akses mudah di Singapura dan perkhidmatan premium yang ditawarkan.

Menurutnya, golongan ibu kini semakin cenderung terhadap gabungan penjagaan tradisional serta moden.

Walaupun mereka menghargai amalan tradisional seperti ubat herba dan urut, mereka turut dilengkapi dengan kemudahan moden, sokongan laktasi berasaskan bukti, dan pemantauan perubatan profesional, tambahnya.

Menyentuh tentang pusat berpantang, Cik Yan berkata ia menyediakan suasana berstruktur yang didampingi sokongan profesional, yang membolehkan golongan ibu memberi tumpuan kepada pemulihan mereka tanpa tanggungjawab tambahan iaitu untuk menjaga rumah mereka.

“Faktor yang menarik mereka selalunya termasuk kemudahan dan penjagaan menyeluruh yang diberikan pusat berpantang, menjadikan peralihan kepada fasa keibuan lebih lancar dan lebih bebas tekanan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg