Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu cemas apabila anak autistik terkandas semasa gangguan MRT

Kakitangan MRT maklumkan anak, 15 tahun, tunggu di platform stesen apabila khidmat antara Jurong East dengan Buona Vista terjejas
Oct 3, 2024 | 6:10 PM
Remaja yang mempunyai autisme, Muaz Muhammad Hafiz, 15 tahun, terkandas di stesen MRT Jurong East semasa gangguan kereta api pada 25 September.
Remaja yang mempunyai autisme, Muaz Muhammad Hafiz, 15 tahun, terkandas di stesen MRT Jurong East semasa gangguan kereta api pada 25 September. - Foto LYDIAWATI ISMAIL

Apabila gangguan khidmat MRT berlaku pada 25 September di Laluan Timur-Barat (EWL) antara Jurong East dengan Buona Vista, ramai yang terkandas dan menghadapi kesukaran.

Bagi suri rumah Cik Lydiawati Ismail, meskipun beliau tidak terjejas sebagai penumpang, perasaan cemas timbul semasa menantikan kepulangan anaknya yang menaiki MRT.

Cik Lydiawati, 42 tahun, yang menetap di kawasan timur Singapura bergegas menaiki kereta sewa setelah mendapat tahu gangguan MRT itu akan menjejas anaknya yang mempunyai gangguan spektrum autisme dan tidak dapat bertutur dengan jelas. 

Rasa khuatir, berkecamuk dan takut timbul dalam diri Cik Lydiawati apabila menyedari anaknya, Muaz Muhammad Hafiz, 15 tahun, kemungkinan terkandas seorang diri tanpa tahu apa yang sepatutnya dilakukan.

“Saya dapat mengesan lokasinya melalui telefon dan saya perasan beliau masih belum berganjak dari stesen MRT seperti yang selalunya berlaku.

“Secara kebetulan seorang staf SMRT juga menelefon suami saya dan memberitahunya tentang anak kami,” katanya.

Muaz biasanya menaiki SMRT untuk berulang-alik dari rumah ke sekolahnya, Eden School, sebuah sekolah untuk pelajar keperluan khas di Bukit Batok. 

“Muaz telah berulang-alik sendirian, setelah saya latih dia, lebih dari setahun. Selama ini kami tidak pernah hadapi situasi seperti ini.

“Tetapi saya tak salahkan SMRT kerana gangguan ini, sebaliknya saya rasa ini satu latihan juga untuk Muaz,” kata Cik Lydiawati yang berkata Muaz nampak tenang sewaktu beliau mengambilnya dari stesen MRT Jurong East.

Cik Lydiawati berkongsi sebuah video di akaun TikToknya yang menunjukkan beliau sedang berlari mencari anaknya yang sedang menunggunya di platform stesen itu.

Video yang dikongsi itu telah ditonton lebih 237,000 kali. 

Wartawan Berita Harian (BH) bertanya dengan Cik Lydiawati apakah yang paling beliau risaukan ketika itu.

Menurut Cik Lydiawati, beliau bimbang anaknya ‘marah’. 

“Anak saya kelihatan normal dan orang ramai pasti tidak sedar kelainan pada dirinya dari dasar luaran, dan mungkin mereka tidak menghulurkan bantuan.

“Tetapi saya dapat rasakan ada peningkatan kesedaran dalam masyarakat Singapura, walaupun ada yang masih beranggapan yang golongan seperti anak saya ‘ganas’,” kata ibu dua anak itu. 

Menurut Cik Lydiawati, anaknya bukanlah bisu, tetapi pertuturannya terhad kepada beberapa perkataan saja dan tidak dapat berkomunikasi seperti biasa.

“Dari itu, beliau dikategorikan sebagai ‘non verbal’ (tidak bertutur), tetapi Muaz dapat gunakan cara lain untuk berkomunikasi, seperti menaip menerusi telefon atau menulis,” katanya.

Sewaktu kejadian, Cik Lydiawati dapat rasakan bahawa Muaz memahami sedikit sebanyak keadaan yang sedang berlaku kerana stesen lengang dan tidak ada kereta api yang datang, tetapi Muaz tidak dapat bertindak.

“Muaz tidak dapat berfikir luar dari situasi itu, jadi dia hanya dapat menunggu kereta api yang akan datang.

“Saya bersyukur dia tenang sewaktu saya sampai ke stesen, walaupun mungkin penat dan lapar selepas sekolah,” ujarnya.

Muaz membawa bersamanya sebuah beg sekolah yang mempunyai namanya dan dari situ staf SMRT dapat menghubungi bapanya. 

Cik Lydiawati sering berkongsi kandungan austime di ruang TikToknya dan merupakan penulis buku, ‘A Worthy Race’ dan ‘A Hope Worth Having’, yang menyingkap perjalanan membesarkan anak autistik

Buku itu boleh didapati di Kinokuniya Takashimaya dan Wardah Books. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg