Ketika menerima tawaran menyertai syarikat antarabangsa, Shell pada 2004, Cik Nordarlina Md Sibi sudah hamil tujuh bulan.

Beliau mengakui bimbang tawaran kerja itu akan ditarik balik sebaik sahaja majikan mengetahui keadaannya.

Namun, kebimbangannya meleset apabila syarikat itu bukan sahaja mengekalkan tawaran tersebut, malah memberi ruang untuk beliau memulakan kerjaya sambil bergelar ibu.

Lebih dua dekad kemudian, ibu kepada empat anak itu kini memegang jawatan Naib Presiden Asia Tenggara Minyak Pelincir (atau Lubricants) Shell yang mengetuai operasi syarikat itu di 20 negara di rantau Asia Pasifik.

Cik Nordarlina menerajui operasi perniagaan minyak pelincir syarikat Shell sebagai Naib Presiden dan Pengurus Besar Minyak Pelincir Shell bagi Singapura, Malaysia dan Asia Tenggara, yang merangkumi 20 negara di rantau Asia Pasifik.
Cik Nordarlina menerajui operasi perniagaan minyak pelincir syarikat Shell sebagai Naib Presiden dan Pengurus Besar Minyak Pelincir Shell bagi Singapura, Malaysia dan Asia Tenggara, yang merangkumi 20 negara di rantau Asia Pasifik. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selepas tamat pengajian sarjana dalam Kejuruteraan Automotif dari Universiti Sheffield di Britain, beliau menyertai syarikat Shell pada 2004 sebagai lulusan universiti baharu. 

Ketika itu, beliau sudah mempunyai seorang anak dan sedang hamil tujuh bulan.

Ibunya pada ketika itu bimbang tawaran kerja tersebut akan ditarik balik.

“Saya hubungi Shell dan beritahu keadaan saya.

“Mereka kata: ‘Tidak mengapa, kita akan cari jalan.’ Masa itu lebih 20 tahun lalu, jadi saya memang tidak sangka mereka begitu terbuka dan memahami,” kata Cik Nordarlina, kini 49 tahun.

Bagi Cik Nordarlina, pengalaman itu menjadi titik penting dalam kerjayanya.

Katanya, sokongan yang diberikan bukan sahaja membolehkan beliau memulakan kerjaya dengan yakin sebagai ibu muda, malah membuktikan bahawa wanita tidak sepatutnya perlu memilih antara keluarga dengan kerjaya.

Cik Nordarlina  (depan, kiri) bersama suami, Encik Izham Sidek, serta empat anak mereka — (belakang, dari kiri) Iris Hannah Izham, Zara Hannah Izham, Lisa Hannah Izham dan Adam Aiman Izham. Minat terhadap kelab bola sepak West Ham United yang dipupuk Encik Izham kini turut dikongsi seisi keluarga.
Cik Nordarlina (depan, kiri) bersama suami, Encik Izham Sidek, serta empat anak mereka — (belakang, dari kiri) Iris Hannah Izham, Zara Hannah Izham, Lisa Hannah Izham dan Adam Aiman Izham. Minat terhadap kelab bola sepak West Ham United yang dipupuk Encik Izham kini turut dikongsi seisi keluarga. - Foto ihsan NORDARLINA MD SIBI

Pengalaman itu turut mengubah cara beliau melihat kerjaya.

Walaupun kini memegang jawatan kanan dalam syarikat sejagat, Cik Nordarlina berkata cita-cita pertamanya sejak kecil bukanlah untuk menjadi seorang jurutera, doktor atau peguam seperti kebanyakan rakan sebayanya.

Sebaliknya, wanita itu hanya mempunyai satu impian – menjadi seorang ibu.

Impian yang dianggap sederhana itu akhirnya membawa beliau menggalas dua tanggungjawab besar dalam hidup – sebagai ibu kepada empat anak dan pemimpin kepada ratusan pekerja.

“Ramai orang ada cita-cita mahu jadi doktor atau peguam. Saya pula sejak kecil memang mahu jadi ibu.

“Saya suka kanak-kanak dan saya fikir, kalau boleh saya mahu jadi ibu yang berpendidikan,” katanya sambil ketawa ketika ditemui Berita Minggu (BM) baru-baru ini.

Minat terhadap matematik dan sains membawanya melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Sistem Pembuatan di Britain dari Universiti Warwick, sebelum menyambung pengajian Sarjana dalam Kejuruteraan Automotif dari Universiti Sheffield yang juga di Britain.

Cik Nordarlina membesar di Kuala Lumpur, Malaysia dan kini merupakan seorang warga Singapura sejak 2021.

Beliau menemui suaminya, Encik Izham Sidek, kini 54 tahun, seorang warga Singapura, semasa menuntut di Universiti Warwick.

Di sebalik jawatan Cik Nordarlina yang semakin tinggi, cabaran paling besar bukanlah mengurus operasi perniagaan, sebaliknya mengimbangi kerjaya dan keluarga.

“Saya belajar satu perkara penting, saya tidak akan mampu menjadi ibu yang sempurna.

“Kalau saya terlepas mesyuarat ibu bapa di sekolah atau persembahan anak kerana tuntutan kerja, saya belajar untuk memaafkan diri sendiri. 

“Malah, saya buat yang terbaik mengikut kemampuan,” kata beliau lagi.

Beliau juga tidak malu mengakui bahawa sokongan suaminya menjadi antara faktor terbesar di sebalik kejayaannya.

Keluarga Cik Nordarlina Hassan bergambar di hadapan flat yang pernah mereka diami ketika menetap di London selama tiga tahun.
Keluarga Cik Nordarlina Hassan bergambar di hadapan flat yang pernah mereka diami ketika menetap di London selama tiga tahun. - Foto ihsan NORDARLINA MOHD SIBI

Encik Izham, seorang guru, pernah mengambil cuti sabatikal sebanyak dua kali apabila keluarga mereka perlu berpindah luar negara disebabkan tuntutan tugas Cik Nordarlina.

Suaminya itu juga memilih untuk melepaskan peluang kenaikan pangkat supaya dapat memberi lebih tumpuan kepada keluarga.

“Saya selalu bergurau, rahsia kejayaan saya adalah untuk kahwin dengan orang yang tepat.

“Kami sentiasa buat keputusan sebagai satu pasukan.

“Kalau seorang pergi lebih laju dalam kerjaya, seorang lagi akan pastikan keluarga tetap terjaga,” katanya yang telah bermastautin bersama keluarga di London sepanjang tiga tahun pada 2018 hingga 2021 kerana kerjanya.

Bagi Cik Nordarlina, membina keluarga juga tidak pernah dilakukan secara bersendirian.

Selain suami, beliau turut bergantung kepada ibu bapa, keluarga mertua, jiran tetangga, pembantu rumah serta kemudahan masyarakat seperti program jagaan selepas sekolah.

“Orang selalu fikir kita kena buat semuanya sendiri.

“Sebenarnya, untuk membesarkan anak memang perlukan satu kampung,” ujar beliau.

Cik Nordarlina menyampaikan ucapan pembukaan sempena majlis meraikan ulang tahun ke-75 kerjasama antara Shell dengan Scuderia Ferrari yang dihadiri ahli Ferrari Club Owners Malaysia di Kuala Lumpur pada 2025.
Cik Nordarlina menyampaikan ucapan pembukaan sempena majlis meraikan ulang tahun ke-75 kerjasama antara Shell dengan Scuderia Ferrari yang dihadiri ahli Ferrari Club Owners Malaysia di Kuala Lumpur pada 2025. - Foto SHELL SINGAPORE

Kini, selepas lebih dua dekad bersama syarikat Shell, Cik Nordarlina mengetuai perniagaan minyak pelincir syarikat di 20 negara sambil membimbing kira-kira 400 pekerja di bawah seliaannya.

Beliau kini berpangkalan di Singapura.

“Sekarang saya rasa saya seperti ‘ibu’ kepada kira-kira 400 orang,” katanya sambil tersenyum.

Menurut beliau, tanggungjawab seorang pemimpin sebenarnya tidak jauh berbeza daripada seorang ibu.

“Kita mahu melihat mereka menjadi versi terbaik diri mereka. Kita bimbing, beri ruang untuk mereka belajar, buat kesilapan dan berkembang,” kongsinya.

Falsafah itu turut diterapkan di rumah.

Beliau tidak terlalu menekankan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya lebih mementingkan pembentukan watak, sikap ingin tahu dan keupayaan anak-anak berdikari.

“Kalau mereka terlupa buat kerja sekolah, biarkan mereka hadapi akibatnya. Saya mahu mereka belajar bahawa setiap keputusan ada akibatnya.

“Saya tidak mahu membesarkan anak yang takut membuat kesilapan. 

“Saya mahu mereka belajar bertanggungjawab,” ujar beliau lagi.

Mengimbau kembali perjalanan kerjayanya, Cik Nordarlina berkata jika diberi peluang kembali kepada dirinya yang muda, beliau hanya mempunyai tiga pesanan.

Pertama, sentiasa bersikap ingin tahu sebelum cuba mengagumkan orang lain.

“Kita selalu rasa perlu tahu semua benda supaya orang nampak kita hebat. 

“Sebenarnya, lebih baik kita banyak bertanya dan belajar,” nasihatnya.

Kedua, jangan takut mengakui bahawa kita tidak tahu.

“Mengatakan ‘saya tidak tahu’ bukan kelemahan. Bagi saya, itu satu kekuatan kerana daripada situlah kita mula belajar,” jelas beliau.

Pesanan terakhir pula ialah sentiasa membina rangkaian hubungan kerana suatu hari nanti, rangkaian itulah yang menjadi tempat mendapatkan nasihat, sokongan dan peluang.

Kini, selepas lebih dua dekad membina kerjaya sambil membesarkan empat anak, Cik Nordarlina percaya kedua-dua peranan itu sebenarnya berkongsi tujuan yang sama.

"Bila saya renungkan semula, mungkin saya memang tidak pernah buat dua pekerjaan yang berbeza.

"Sama ada sebagai ibu kepada empat orang anak ataupun sebagai ketua kepada ratusan pekerja, tujuan saya tetap sama iaitu untuk membantu mereka menjadi versi terbaik diri,” ujarnya lagi.

BIODATA

– Nordarlina Mohd Sibi

– 49 tahun

– Naib Presiden dan Pengurus Besar Minyak Pelincir Shell bagi Singapura, Malaysia dan Asia Tenggara. Menyelia sekitar 400 pekerja di 20 negara Asia Pasifik.

– Ibu kepada empat orang anak

– Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Pembuatan, Universiti Warwick, Britain

– Ijazah Sarjana Kejuruteraan Automotif, Universiti Sheffield, Britain

– Membesar di Kuala Lumpur, dan kini warga Singapura. Suaminya, Encik Izham Sidek, 54 tahun, seorang guru.

Realiti menjadi ibu

“Saya belajar satu perkara penting, saya tidak akan mampu menjadi ibu yang sempurna. Kalau saya terlepas mesyuarat ibu bapa di sekolah atau persembahan anak kerana tuntutan kerja, saya belajar untuk memaafkan diri sendiri. Malah, saya buat yang terbaik mengikut kemampuan... Orang selalu fikir kita kena buat semuanya sendiri. Sebenarnya, untuk membesarkan anak memang perlukan satu kampung.”
Menjadi pemimpin di tempat kerja

“Sekarang saya rasa saya seperti ‘ibu’ kepada kira-kira 400 orang. Kita mahu melihat mereka menjadi versi terbaik diri mereka. Kita bimbing, beri ruang untuk mereka belajar, buat kesilapan dan berkembang.”
Cik Nordarlina Md Sibi, Naib Presiden Asia Tenggara Minyak Pelincir Shell.