Jururawat staf, Cik Liyana Izyan Jalil, 24 tahun, merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang menceburi bidang kejururawatan.
Ibunya, pengurus jururawat kanan, Cik Julianah Omar, 48 tahun, kini bertugas di Hospital Alexandra, hospital di mana Cik Liyana juga berkhidmat.
Neneknya, Cik Hasiah Sarbini, 82 tahun, pernah berkhidmat sebagai pendidik jururawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH).
Menurut Cik Liyana, beliau tidak dipaksa untuk menceburi bidang kejururawatan, tetapi percaya pengalaman ibunya telah mempengaruhinya.
“Saya akan bertanya tentang kerjanya, dan beliau akan bercerita tentang waktu kerja yang panjang dan bagaimana kerja menjaga pesakit memberinya kepuasan walaupun mencabar.
“Saya rasa, mendengar pengalaman ibu membuatkan saya lebih mengagumi apa yang beliau lakukan,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM).
Cik Julianah memulakan kerjayanya dalam bidang yang berbeza sebelum menjadi seorang jururawat.
“Saya tamat pengajian dengan diploma dalam pentadbiran perniagaan pada 1996 dan menyertai pasukan polis, berkhidmat selama dua tahun,” kata ibu kepada dua anak itu. Anak sulungnya berusia 27 tahun.
Beliau kemudian mencuba bidang insurans dan hartanah, namun tidak menemui kepuasan.
Pada 2005, beliau melihat iklan dalam akhbar oleh Agensi Pembangunan Tenaga Kerja (WDA), kini dikenali sebagai Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), yang menawarkan kursus kejururawatan selama dua tahun.
“Saya mempunyai dua anak kecil ketika itu dan agak ragu untuk melanjutkan pelajaran.
“Namun, melihat ibu saya yang juga seorang jururawat, saya menyedari bahawa untuk menjadi jururawat, ia memerlukan kemahiran khas.
“Sebagai seorang pelajar sains, saya tertarik untuk mengetahui lebih lanjut,” katanya.
Beliau tidak memberitahu ibunya sehingga selepas mendapat temu duga.
“Ibu terkejut dan berkata, ‘Kamu betul nak jadi jururawat? Boleh hadapi muntah, organ, darah?’
“Namun saya menjawab, ‘Cuba sahaja lah. Paling teruk, saya berhenti’,” seloroh Cik Julianah, yang kini telah berkhidmat selama 17 tahun dalam bidang kejururawatan.
Pengajian Cik Julianah dibiayai oleh KKH dan beliau kemudian berkhidmat di Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak.
Beliau turut berkhidmat di beberapa jabatan kecemasan hospital lain sebelum menyertai Hospital Alexandra pada 2018.
Sejujurnya, Cik Julianah mengakui beliau tidak menjangka anak bongsunya akan menceburi bidang kejururawatan.
“Kejururawatan bukan mudah – terutamanya di jabatan kecemasan. Saya pernah berdepan dengan situasi kritikal, termasuk menyaksikan pesakit dalam keadaan nazak dan kehilangan nyawa,” katanya.
Namun, pengalaman menjalani latihan amali di Hospital Alexandra telah menjadi titik perubahan buat Cik Liyana pada 2021.
Meskipun ketika itu beliau sedang mengikuti pengajian dalam bidang perbankan, pengalaman tersebut menguatkan azamnya untuk beralih kepada kerjaya kejururawatan dan mendalami bidang tersebut dengan lebih serius.
Cik Liyana, yang kini bekerja di hospital yang sama dengan ibunya, berkata:
“Ibu saya selalu berkata kejururawatan bukan sekadar pekerjaan. Ia sesuatu yang kekal bersama anda.”
Apabila ditanya apakah perasaan dapat bekerja di tempat yang sama, Cik Julianah menjawab:
“Kadangkala, saya melihatnya di hospital dan saya fikir, ‘Wah, itu anak saya’.
“Dan saya teringat hari saya memberitahu ibu saya sendiri bahawa saya akan menjadi jururawat.”
Cik Liyana menambah: “Ia agak menyenangkan. Seolah-olah kami terhubung – bukan hanya sebagai ibu dan anak, tetapi sebagai wanita yang memilih untuk menjaga orang lain.”
Sempena Hari Ibu, Cik Liyana meluahkan harapan kepada ibunya:
“Meskipun masih muda dalam kerjaya ini, saya sangat bangga dengan kejayaan ibu selama ini.
“Saya yakin beliau akan terus mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan.
“Saya juga berharap anak-anak saya nanti akan menjadikannya sebagai contoh teladan.”
“
“Meskipun masih muda dalam kerjaya ini, saya sangat bangga dengan kejayaan ibu selama ini. Saya yakin beliau akan terus mencapai kejayaan lebih besar pada masa depan. Saya juga berharap anak-anak saya nanti akan menjadikannya sebagai contoh teladan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg