Bagi Cik Faradilla Abdul Latiff, 41 tahun, perkara paling sukar semasa dipenjarakan bukanlah hukuman itu sendiri tetapi jarak dengan keluarga.
Terutama sekali jarak antara dirinya dengan dua anak perempuannya, antara dirinya dengan kehidupan yang perlu dibina semula dari awal.
Pemenjaraan pertamanya berlangsung selama lima tahun lapan bulan pada 2016 akibat penyalahgunaan dadah.
Namun, beliau terjerumus semula dalam kesilapan yang sama sebanyak dua kali selepas itu.
“Pada masa itu, saya tak ada gambar mereka. Saya langsung tak dapat berhubung dengan mereka. Seorang tinggal dengan kakak saya, seorang lagi dengan bekas suami.
“Jadi, yang tinggal cuma kenangan… dan solat serta banyak berdoa. Itu yang beri saya kekuatan,” katanya dengan perlahan kepada Berita Minggu (BM).
Ketika kali pertama dipenjara, anak-anaknya baru berusia 12 tahun dan enam tahun.
Antara aspek paling sukar semasa dipenjara, katanya, adalah kehilangan detik-detik penting yang tidak dapat beliau luangkan seperti acara sekolah dan majlis penyampaian sijil.
“Saya terlepas saat-saat mereka membesar. Tapi saya berjanji pada diri saya bahawa ini kali terakhir. Saya mahu hadir untuk mereka sekarang,” luahnya.
Kini, anak-anaknya sudah berusia 21 tahun dan 15 tahun.
Anak sulungnya sedang menunggu untuk memulakan pengajian universiti pada Ogos manakala adiknya kini di Menengah 3.
Beliau menggambarkan hubungannya dengan anak-anak sebagai satu perjalanan pemulihan yang perlahan tetapi bermakna.
“Kini kami dapat berbual dengan lebih mesra. Saya bersyukur mereka menerima saya dan terbuka untuk berkongsi cerita dengan saya,” katanya penuh rasa syukur.
Cik Faradilla pernah menjadi penghuni rumah pemulihan, Rise Above, di bawah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), di mana beliau meluangkan bulan-bulan terakhir hukumannya bagi persediaan semula ke dunia luar – secara emosi, praktikal dan rohani. Beliau dibebaskan pada Februari 2025.
Titik perubahan dalam hidupnya berlaku apabila beliau berpeluang menghadiri majlis anugerah biasiswa anaknya buat pertama kali, selepas menamatkan program di Rise Above.
“Saat itu, ia mengingatkan saya kenapa saya berjuang. Saya tak mahu rosakkan apa-apa. Saya sayangkan mereka. Sekarang, saya hanya ingin berikan tumpuan kepada keluarga saya,” kata Cik Faradilla.
Kini, Cik Faradilla bekerja dalam bidang penjagaan kesihatan sebagai pembantu jagaan di pusat harian warga emas.
Beliau akur pekerjaan itu ibarat salah satu bentuk sumbangannya semula kepada masyarakat.
Namun, perjalanannya ke arah pemulihan tidak mudah.
Beliau juga harus menghadapi perjuangan peribadi seperti penceraian yang memakan masa hampir 13 tahun – yang hanya selesai tujuh hari sebelum beliau dibebaskan.
Cik Faradilla melahirkan penghargaan kepada kakitangan Rise Above dan rakan-rakan seperjuangannya di rumah pemulihan itu kerana banyak membantu.
“Sebelum ini, saya tidak suka berdepan dengan konflik. Jika ada masalah, saya akan melarikan diri.
“Namun di Rise Above, saya belajar menghadapi masalah dan juga menghuraikannya. Kakitangan di sini sentiasa membimbing kami.
“Bila saya kongsi masalah, mereka bukan hanya mendengar malah mereka juga bantu cari penyelesaian. Selangkah demi selangkah. Itulah cara saya kekal bersemangat,” kongsi beliau.
Sempena Hari Ibu, Cik Faradilla meluahkan harapannya.
“Sebagai ibu, kita sering memikul beban untuk melakukan segala-galanya dengan sempurna.
“Bila kita buat silap, rasa bersalah tu sangat berat. Tapi saya dah belajar – kisah kita tak ditentukan oleh masa silam. Perkembangan, bukan kesempurnaan, itulah yang penting.
“Ibu-ibu ni kuat. Setiap hari kita pilih untuk bangkit semula. Itulah keberanian sebenar.”
Cik Faradilla turut berkata:
“Kenali kami (bekas banduan) terlebih dahulu sebelum menghukum. Kami juga sebahagian daripada masyarakat ini. Kami hanya perlu difahami.”
“
“Sebagai ibu, kita sering memikul beban untuk melakukan segala-galanya dengan sempurna. Bila kita buat silap, rasa bersalah tu sangat berat. Tapi saya dah belajar – kisah kita tak ditentukan oleh masa silam. Perkembangan, bukan kesempurnaan, itulah yang penting. Ibu-ibu ni kuat. Setiap hari kita pilih untuk bangkit semula. Itulah keberanian sebenar.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg