Cik Liyana Izyan Jalil, 24 tahun, merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang bergelar jururawat — mengikuti jejak ibunya, Cik Julianah Omar, 48 tahun, dan neneknya, Cik Hasiah Sarbini, 82 tahun.
Sempena sambutan Hari Ibu tahun ini, Cik Liyana merenung pengaruh ibunya, yang juga rakan kerjanya di Hospital Alexandra:
“Ibu saya selalu berkata kejururawatan bukan sekadar pekerjaan. Ia sesuatu yang kekal bersama anda.”
Ibunya, Cik Julianah yang dahulu seorang pegawai polis, berkongsi: “Kadang-kadang saya lihat dia di hospital dan terfikir, ‘Wah, itu anak saya.’”
Walaupun tidak pernah ‘dipaksa’ menjadi jururawat, pengalaman mendengar kisah ibunya memberi inspirasi kepada Cik Liyana.
“Sejak kecil, kalau saya sakit, saya tidak pernah rasa bimbang kerana tahu yang ibu akan menangani semuanya dengan baik,” ujar Cik Liyana yang rasa selamat dengan penjagaan dan kasih sayang ibunya.
“Saya kagum dengan apa yang ibu lakukan dan telah capai selama ini. Terutama semasa pandemik Covid-19 sehingga beliau menerima Anugerah Pujian kerana dedikasi dan khidmatnya menjalankan tugas. Saya harap anak-anak saya nanti akan menjadikannya contoh teladan,” kata Cik Liyana, mengenang legasi keluarga.
Namun, menjadi ibu tidak semestinya melalui kelahiran darah daging sendiri.
Bagi Cik Zaina Zainal, 48 tahun, beliau memulakan perjalanan sebagai ibu titipan selepas lapan tahun berkahwin tanpa anak.
Sejak 2019, beberapa anak telah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Sebagai seorang ibu, kasih sayang itu memang semula jadi. Walaupun bukan anak kandung, saya tetap beri sepenuh hati,” katanya.
“Tak kisah anak siapa pun, saya akan berikan kesayangan,” kata beliau dengan penuh emosi.
Dan bagi sesetengah ibu pula, rasa bersalah, kehilangan masa, dan usaha untuk menebus kembali detik yang hilang, menjadi sebahagian daripada kisah mereka.
Cik Faradilla Abdul Latiff, 41 tahun, seorang ibu yang pernah menjalani hukuman penjara, kini membina semula hidupnya demi anak-anak.
“Saya tak mahu jauh lagi dari anak-anak. Saya dah hilang terlalu banyak masa,” katanya penuh keinsafan.
Beliau mengakui bahawa saat-saat melihat anak menerima anugerah akademik menjadi titik perubahan dalam dirinya.
“Apabila saya tengok anak terima anugerah pendidikan, saya tahu – itulah sebab saya kena teruskan hidup ini,” jelas Cik Faradilla lagi.
Kini dalam pemulihan dan disokong oleh rangkaian bantuan sosial, Cik Faradilla, yang bekerja sebagai pembantu jagaan di pusat harian warga emas, berkata:
“Setiap hari, saya bangkit untuk jadi versi terbaik seorang ibu. Yang penting ialah kemajuan, bukan kesempurnaan. Ibu itu tabah. Setiap hari, kami memilih untuk bangkit semula.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg