Ketika Cik Indah Zafirah menjadi seorang ibu, beliau menghadapi cabaran yang tidak dijangka – mencari perkhidmatan penjagaan semasa berpantang selepas bersalin yang selaras dengan budaya dan amalan masyarakat Melayu.
Kekurangan perkhidmatan ini mendorongnya untuk menubuhkan Ratu Confinement pada 2023, sebuah perkhidmatan untuk golongan ibu menerima penjagaan semasa berpantang yang disesuaikan dengan keperluan, tradisi, dan nilai masyarakat Melayu.
“Saya mengalami kesukaran mencari penjaga dalam pantang Melayu semasa mengandung pada 2022. Kebanyakan penjaga datang dari latar belakang budaya lain, dan amalan mereka tidak sama dengan kebiasaan masyarakat Melayu.
“Ketika itulah saya sedar perlunya penyelesaian yang berbeza,” kata Cik Indah, kini berusia 29 tahun.
Di Ratu Confinement, ibu yang mengambil khidmat syarikat itu dibimbing selepas bersalin dengan gabungan penjagaan tradisional serta moden.
Antara tarikan menarik syarikat ini adalah khidmat penjaga bayi dan ibu berpantang atau ‘confinement lady’ (CL) yang tinggal serumah dengan ibu berpantang.
“Kebanyakan permintaan yang kami terima adalah untuk perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu berpantang yang tinggal serumah selama tempoh berpantang, hingga 28 hari.
“Aturan ini membolehkan CL memastikan ibu berpantang sentiasa berada dalam keadaan sihat dan tenang. Lebih kurang 90 peratus pelanggan memilih pilihan ini,” jelas Cik Indah, ibu seorang anak lelaki, Hannan Ezlyn, berusia dua tahun.
Menurutnya, CL yang menetap bersama keluarga mempunyai jadual kerja selama 11 jam, dari 8 pagi hingga 7 malam, sebelum masanya untuk rehat. Harga pakej ‘standard’ ini bermula dari $1,150 untuk tujuh hari.
Selain menjaga bayi dan ibu berpantang, tugas CL Ratu Confinement juga adalah untuk memasak makanan berkhasiat dan juga mengurut si ibu.
Syarikat itu menawarkan urutan selepas bersalin, mandian herba, bertangas, dan tungku (pemanasan batu panas), di samping penyediaan makanan khas untuk ibu berpantang.
Walaupun hidangan biasanya mengikut amalan pantang tradisional Melayu, pelanggan juga boleh meminta hidangan daripada masakan lain mengikut kesukaan mereka. Fleksibiliti ini mencerminkan keperluan ibu moden.
Mengulas lebih mengenai mengapa beliau berasakan lebih ramai ibu kini mencari penjagaan pantang alternatif seperti mendapatkan CL, Cik Indah berkata: “Tidak semua orang mempunyai masa atau sumber untuk bergantung kepada keluarga untuk mendapatkan sokongan.
“Mengupah perkhidmatan penjagaan bayi dan ibu berpantang dapat mengurangkan tekanan.
“Ia membolehkan ibu pulih dan menumpukan lebih masa bermutu sambil mengeratkan hubungan dengan bayi mereka, ” jelas Cik Indah yang juga seorang juruanalisis makmal.
Selain itu, Cik Indah mengongsi bahawa menyesuaikan amalan pantang tradisional dengan gaya hidup moden ada cabarannya juga.
Ada ibu yang lebih suka minuman sejuk berbanding teh herba panas atau memilih masakan moden berbanding hidangan tradisional.
Ada juga yang mungkin mengelak amalan seperti memakai bengkung atau mengambil herba jamu.
Namun, Cik Indah dan pasukannya seramai 30 CL, berusaha mencapai keseimbangan dalam khidmat mereka.
“Ia tentang memenuhi citarasa dan kesukaan ibu. Kami menghormati pilihan mereka sambil perlahan-lahan memperkenalkan amalan yang menyokong pemulihan mereka,” jelasnya.
Bagi beliau, kepentingan penjagaan pantang adalah tentang mencipta asas yang kukuh untuk keluarga.
“Ia bukan soal kemampuan. Malah ia lebih mengenai memberi diri si ibu berkenaan peluang untuk berehat dan pulih,” katanya.
Menurut Cik Indah, bantuan CL dalam menjaga bayi dan ibu berpantang tidak menunjukkan sebarang kekurangan keupayaan.
“Sebaliknya, ia memberi keluarga anda kelebihan strategik dalam membentuk asas yang kukuh untuk masa hadapan.
“Setiap keluarga berhak berasa disokong dalam tempoh berharga ini dan itulah tujuan kami menyediakan perkhidmatan penjagaan berpantang,” katanya.
Di samping itu, Cik Indah juga menyedari bagaimana dinamik keibubapaan di Singapura semakin berubah.
Golongan bapa, yang dahulunya hanya bertanggungjawab sebagai pencari nafkah, kini mengambil peranan lebih aktif dalam penjagaan anak.
“Penjaga kami memastikan mereka mengajar bapa cara memandikan, membedung, dan memberikan susu kepada bayi mereka.
“Ia satu langkah yang menggalakkan – melihat lebih ramai bapa dengan yakin mengambil peranan ini, mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong para ibu,” jelas Cik Indah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg