Topic followed successfully
Go to BHkuIbu kepada Iskandar, Elfee Ismail meninggal dunia
Ibu kepada Iskandar, Elfee Ismail meninggal dunia
Ibu kepada Iskandar, Elfee Ismail meninggal dunia
Ibu kepada penyanyi Iskandar Ismail dan Elfee Ismail, Cik Rokiah Mat Shukor, disahkan meninggal dunia pada usia 75 tahun kira-kira 2 petang pada 29 April.
Khabar itu dikongsikan sendiri oleh Elfee menerusi Facebook.
Allahyarhamha merupakan isteri kepada biduan era 1950-an, R. Ismail (Ismail Abdul Rahman), yang terkenal dengan lagu Gurindam Jiwa.
Setakat ini, punca kematian masih belum diketahui dan jenazah masih berada di Hospital Besar Sengkang.
Menurut menantunya, Cik Norazura Mohamed Ismail, Allahyarhamha dipercayai menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Edgefield Walk setelah mengalami sesak nafas.
Ketika dihubungi BH, Iskandar atau lebih dikenali sebagai Eiss - juara Gegar Vaganza 2026 pada Januari lalu - berkata beliau berada di Singapura dan sepatutnya berangkat ke Kuala Lumpur esok, namun rancangan tersebut mungkin dibatalkan.
“Saya kini di Singapura. Sepatutnya esok ke Kuala Lumpur, tetapi baru mendapat berita ibu saya meninggal dunia. Jenazah akan menjalani bedah siasat di Hospital Besar Singapura (SGH) bagi menentukan punca kematian,” katanya.
Menurut beliau lagi, jenazah akan dibawa pulang ke rumah esok untuk urusan pengebumian, yang dijangka berlangsung selepas waktu zuhur atau asar.
Maklumat lanjut akan dikongsikan kemudian.
Allahyarhamha meninggalkan empat anak dan enam cucu.
Suaminya, penyanyi veteran Singapura, R. Ismail meninggal dunia pada 13 September 2020, pada usia 83 tahun akibat komplikasi jantung, kegagalan buah pinggang, dan paru-paru di Hospital Besar Sengkang.

