Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah melancarkan penjualan pusat beli-belah Tanjong Katong Complex (TKC) melalui tender Konsep dan Hasil Harga dengan tempoh pajakan 30 tahun pada 18 Oktober.
Tender tersebut, yang akan dibuka sehingga 25 Februari 2025, membuka peluang kepada mereka yang berminat menjadi pengendali TKC untuk memberikan cadangan memberi nafas baru kepada TKC sebagai sebuah nod komersial selaras dengan visi lebih besar pusat kawasan Paya Lebar, sementara mengekalkan nilai budaya Geylang Serai.
Dalam pada itu, Yayasan Mendaki juga akan memindahkan ibu pejabatnya di Kee Sun Avenue ke TKC baru itu apabila kerja-kerja naik taraf dan pembinaan selesai pada separuh pertama 2029. Ia akan ditempatkan bersama dengan sebuah pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan perpustakaan awam.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, dalam satu sidang media di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 18 Oktober, berkata penjualan TKC itu adalah “selaras dengan visi lebih besar pemerintah untuk membangunkan kawasan pusat Paya Lebar sebagai sebuah hab komersial di luar kawasan pusat bandar, melalui suntikan nod komersial berdekatan stesen MRT”.
Dibina pada 1982, TKC merupakan sebuah mercu tanda dalam Jalur Budaya Geylang Serai dan telah ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf sejak Ogos 2023. Ia sebelum ini dikendalikan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
SLA dalam kenyataannya berkata mereka yang membida bagi tender itu perlu memastikan terdapat tawaran komersial yang bercampur, termasuk pilihan kedai runcit dan makan yang baru serta ruang khusus bagi perniagaan Melayu.
Di samping itu, plaza awam luar bangunan bagi menyediakan tempat untuk acara masyarakat, seperti pameran, konsert dan Bazar Hari Raya Geylang Serai, perlu disediakan.
Mereka yang membida juga perlu memikirkan cara mempertingkat ketersambungan pejalan kaki ke bangunan komersial dan masyarakat di sekeliling, seperti WGS dan Paya Lebar Quarter.
Ruang keluasan lantai kasar (GFA) kompleks empat tingkat itu sekarang adalah sekitar 19,000 meter persegi, namun ia boleh diperluaskan sehingga 30,166 meter persegi.
Pengarah divisyen pemindahan dan penjualan tanah di SLA, Encik Wang Wei, berkata pembida boleh memberi cadangan untuk membina bangunan tambahan sehingga lima tingkat dengan keluasan sekitar 12,000 meter persegi di tempat menurunkan penumpang TKC lama yang terletak depan tempat meletak kenderaan.
Sekitar 1,500 meter persegi kompleks diberi nafas baru itu perlu dikhususkan bagi perniagaan Melayu dan/atau ruang inkubasi keusahawanan Melayu.
Dr Maliki, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Jalur Budaya Geylang Serai, berkata keluasan lantai kasar yang dikhususkan bagi perniagaan Melayu itu adalah “ruang sama yang diduduki penyewa Melayu di TKC lama”.
Sementara itu, 3,600 meter persegi akan disediakan bagi ibu pejabat Mendaki dan pejabat Muis, manakala 2,400 meter persegi pula bagi perpustakaan awam.
Baki GFA adalah bagi penggunaan komersial, seperti kedai, klinik, restoran dan pasar raya.
Penjualan arak, spa dan kedai urut, kelab malam/pub/bar tidak dibenarkan di TKC.
Dengan itu, TKC yang diberi nafas baru itu dijangka siap dibina pada separuh pertama 2029 – sekitar tiga tahun lebih lama daripada tarikh Julai 2026 yang dilaporkan sebelum ini.
Dr Maliki berkata tarikh dilanjutkan itu ditetapkan selepas mereka memikirkan semula cara mempertingkatkan lagi TKC untuk masyarakat.
“Kami telah memikirkan semula tentang apa lagi yang boleh kami lakukan untuk mempertingkat TKC, dan kami fikirkan bahawa dengan membawa masuk pengendali swasta, ia akan menjadi satu cara memupuk banyak idea baru,” kata beliau.
“SLA, yang bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), berasa model ini boleh memberi kami alternatif lebih baik berbanding sebelumnya,” tambah beliau.
Sementara itu, Encik Wang menjelaskan bahawa di bawah tender Konsep dan Hasil Harga itu, mereka yang membida akan perlu memberi dua dokumen – satu yang memberi butiran rancangan dan konsep pembaharuan TKC, dan satu lagi bagi bidaan harga.
Sebuah jawatankuasa penilaian konsep akan menilai dan memilih saranan konsep bagi pembaharuan TKC terdahulu sebelum beralih ke peringkat selanjutnya untuk membuka bidaan harga.
Apabila kerja naik taraf selesai pada separuh pertama 2029, orang ramai boleh menjangkakan bangunan kontemporari dengan lebih banyak ruang runcit, pilihan makanan dan minuman (F&B) lebih luas, ruang bagi kegiatan masyarakat dan kemudahan.
Ini termasuk kawasan atas bumbung baru, yang sebahagiannya menempatkan tempat F&B.
Namun, TKC akan mengekalkan ciri-ciri ikoniknya seperti tiang miring di muka bangunan yang menghadap Tanjong Katong Road.
Dr Maliki berharap Jalur Budaya Geylang Serai, yang termasuk TKC, akan menjadi kawasan bertenaga yang dapat menarik segenap lapisan masyarakat.
“Masyarakat Melayu melihat kawasan ini sebagai nadi masyarakat, namun ia kebanggaan semua rakyat Singapura, yang bermakna jika mereka ada rakan luar negara yang bertanya apakah yang unik tentang fabrik masyarakat Singapura yang berbilang bangsa, mereka akan mahu membawa rakan-rakan ke jalur budaya ini.
“Mereka akan mahu menunjukkan apa yang ditawarkan TKC, WGS dan aspek berbeza di jalur ini, termasuk Gerbang Ikonik baru kami,” kata beliau.
Mereka yang berminat menyertai tender boleh melungsuri laman https://app.sla.gov.sg/spio untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg