Walaupun pada awalnya beliau menganggap dirinya tidak berbakat dalam berkebun, Cik Aishah Abdul Jalil, 62 tahun, memberanikan diri mencuba sesuatu yang baru dan menyertai Kebun Masyarakat Nee Soon East.
Namun, dengan bimbingan rakan-rakan pekebun serta komitmen bersama terhadap kemampanan, beliau semakin mahir dan yakin untuk berkebun.
“Dulu, pokok kaktus saya pun boleh mati,” katanya kepada Berita Minggu (BM), sambil ketawa.
Dedikasi Cik Aishah terhadap kebun masyarakat ini amat terserlah sehingga beliau diiktiraf dengan Anugerah Yishunite Of The Year (2024) oleh Majlis Bandaran Nee Soon, semasa pelancaran pembukaan Majilis Bandaran Nee Soon yang baru dinaik taraf, di 290 Yishun Street 22, pada 1 Februari.
Anugerah tahunan yang diperkenalkan pada 2020 menghargai sumbangan wira atau wirawati di kejiranan sekitar GRC Nee Soon.
Cik Aishah yang sudah tiga tahun bercucuk tanam bersama Kebun Masyarakat Nee Soon East, terletak di belakang Pusat Polis Kejiranan (NPC) Yishun North, berkata:
“Mendekatkan diri dengan alam semula jadi ini memang baik, tetapi yang lebih penting ialah matlamat kami untuk menjadi mampan. Misalnya, menghasilkan sayur-sayuran dan tanaman untuk masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan.
“Mungkin ada perbezaan pendapat, tetapi pada akhirnya, kami berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk berbakti kepada masyarakat,” ujar ibu tiga anak itu.
Kebun masyarakat itu menanam pelbagai jenis tumbuhan, daripada selasih dan jagung hingga labu, yang memerlukan perhatian khusus.
“Menanam labu agak mencabar. Kadang-kadang kita perlu mendebungakannya secara manual, “ jelasnya, menggambarkan cara beliau dan rakan petaninya dengan berhati-hati memindahkan debunga dari bunga jantan ke bunga betina.
Hasil tuaian dari kebun ini diagihkan dengan pelbagai cara. “Kadang-kadang, semasa kami di kebun, kami berkongsi hasil tuaian dengan mereka yang lalu-lalang. Ada juga yang datang meminta herba dan sayur-sayuran,” katanya, menekankan peranan kebun ini dalam memupuk sikap murah hati dan saling menjaga antara jiran tetangga.
Di luar tanaman, Cik Aishah menghargai persahabatan yang telah dipupuknya melalui berkebun.
“Menanam tumbuh-tumbuhan adalah seperti mengembangkan persahabatan. Terdapat banyak kerja berpasukan, memberi dan menerima.
“Sudah tentu, kami juga mempunyai pendapat yang berbeza, tetapi pada hujung hari, kami tahu matlamat kami adalah untuk masyarakat,” kata beliau yang sudah 29 tahun menetap di Yishun.
Majilis Bandaran Nee Soon dirasmikan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam.
Pejabat yang dinaik taraf kini dilengkapi dengan kemudahan baru untuk meningkatkan kecekapan, keselesaan dan keterangkuman pekerja.
Antara ciri baru termasuk tandas mesra untuk golongan kurang upaya, bilik temu duga untuk perbincangan peribadi, reka bentuk terbuka bagi menggalakkan kerjasama, bilik kesejahteraan untuk perhimpunan dan solat, pod senyap untuk mesyuarat, serta tempat duduk tambahan untuk pelawat ke Majlis Bandaran dan perpustakaan.
Naik taraf ini juga menitikberatkan kemampanan dengan sistem penyaman udara cekap tenaga yang dijangka mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 30 peratus.
Selain itu, Majlis Bandaran turut menyertai inisiatif SolarNova Batch 8, yang meliputi 50 peratus blok di Nee Soon, bagi mengurangkan perbelanjaan utiliti dalam jangka panjang.
Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen Majlis Bandaran dalam memodenkan perkhidmatan, memperkukuh kerjasama, dan menggalakkan pengurusan tenaga yang bertanggungjawab demi masa depan yang lebih hijau untuk Nee Soon.
Pengerusi NSTC, Encik Derrick Goh berkata: “Ini merupakan pengubahsuaian besar pertama yang dilakukan Majlis Bandaran Nee Soond dalam tempoh 34 tahun. Tujuannya adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih baik bagi pekerja kami agar mereka dapat terus memastikan GRC kami bersih.
“Kami juga telah memasang unit penyaman udara baharu yang lebih cekap tenaga, turut membantu menjimatkan tenaga. Secara keseluruhannya, perbelanjaan operasi dijangka berkurang sekitar 30 peratus.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg