Semasa acara pelancaran sambutan Tahun Baru Cina di Yishun, seorang peguam hak milik intelektual (IP) dilihat bermesra dengan penduduk kawasan itu, di samping Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 26 Januari.
Cik Deryne Sim, 40 tahun, dilihat bersama Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, serta AP lain, Encik Louis Ng, Cik Carrie Tan, Encik Derrick Goh, dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Bercakap kepada media di acara tersebut, Encik Shanmugam berkata Cik Sim telah “membantunya dalam sesi lawatan” dan merupakan seorang penasihat undang-undang dalaman yang juga terlibat dalam kerja-kerja pertubuhan bukan pemerintah (NGO).
Encik Shanmugam tidak mengesahkan sama ada Cik Sim akan bertanding mewakili parti pemerintah dalam pilihan raya umum (GE2025) yang dijangka berlangsung sebelum November.
Cik Sim pula mengesahkan kepada wartawan bahawa beliau merupakan anggota PAP, lapor The Straits Times (ST).
Pakar IP dalam bidang media dan hiburan itu telah menjadi sukarelawan di cawangan PAP Chong Pang, yang dipengerusi Encik Shanmugam, selama lebih setahun, menghadiri sesi bersama AP untuk menolong penduduk.
Baru-baru ini, beliau juga memberi bantuan dalam pelbagai acara seperti majlis Anugerah Edusave Chong Pang dan pengedaran sampul merah kepada warga emas di kawasan tersebut, tambahnya.
Berdasarkan profil beliau di LinkedIn, Cik Sim memegang ijazah undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan telah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang dengan pelbagai syarikat, seperti Sony Pictures Entertainment, sejak 2010.
Cik Sim juga merupakan pengarah eksekutif Same But Different, sebuah kumpulan yang menyediakan khidmat undang-undang untuk membantu golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ) di sini.
Di acara tersebut, Encik Shanmugam turut disoal tentang cara beliau mempersiapkan diri untuk GE2025 dan jika beliau masih mengetuai pasukan PAP di GRC Nee Soon.
Encik Shanmugam berkata perkara itu bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri Lawrence Wong sebagai setiausaha agung parti.
“Saya gembira (menjaga) kawasan ini… Saya telah berada di sini selama 36 tahun, tetapi saya akan berkhidmat di mana-mana sahaja saya diminta.”
Encik Shanmugam telah mengetuai kawasan Chong Pang sejak 1988, ketika beliau pertama kali dilantik.
Selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) dibentuk pada 22 Januari, pemerhati politik memberitahu ST bahawa mereka jangkakan Singapura akan mengadakan pilihan raya sekitar Mei.
Apabila ditanya sama ada pasukannya sedang meningkatkan persiapan bagi GE2025, Encik Shanmugam berkata:
“Tumpuan kami masih lagi pada perkara asas dan saya percaya bahawa jika anda fokus pada kerja di bawah, perkara-perkara lain akan mengikutinya.”
Encik Shanmugam menambah kerja-kerja menyelesaikan masalah negara serta penduduk telah dijalankan sejak lima tahun lalu, selepas GE2020.
“Ia seperti otot, dan jika anda bekerja secara berterusan, maka otot itu akan aktif. Jika tidak, anda akan kelam-kabut pada saat-saat akhir. Kami tidak kelam-kabut.”
Encik Shanmugam dan Cik Sim bercakap dengan wartawan di acara Springtime Splendour@Nee Soon, satu siri perayaan yang dianjurkan oleh Persatuan Rakyat (PA) bagi menandakan permulaan Tahun Baru Cina.
Acara ini berlangsung dari 24 Januari hingga 12 Februari di padang terbuka bersebelahan Kolam Yishun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg