Sejak anaknya berusia setahun, beliau cekal menghadapi dugaan hidup sebagai ibu tunggal.
Cik Suriatini Abdul, 48 tahun, gigih mencari rezeki dengan mengusahakan sebuah kafe di Geylang Bahru.
Namun, satu peristiwa yang berlaku di dapur pada 2022 telah mengubah laluan kehidupannya.
Minyak panas tertumpah di kaki kirinya. Ia menyebabkan jangkitan kuman dan kaki itu perlu dipotong.
Menurut Cik Suriatini yang dulu ligat memasak, doktor menyarankan agar kakinya dikudungkan secara berperingkat.
“Pada awalnya, doktor memberitahu saya mereka akan memotong kaki kiri saya hingga ke bahagian buku lali, dan akan memantau perkembangan jangkitan.
“Tetapi saya yang minta agar kaki saya dikudungkan seluruhnya hingga ke bahagian atas lutut, supaya tidak perlu dibuat secara berperingkat.
“Saya lebih rela ia dilakukan sekali gus supaya saya dapat teruskan hidup saya dan tidak tertangguh-tangguh menantikan pemulihan secara bertahap yang belum tentu hasilnya,” kata Cik Suriatini kepada Berita Harian.
Dalam saat genting itu, beliau juga sangat khuatirkan tentang keadaan anak tunggalnya, Syed Adam Rizq, kini 14 tahun, yang terpaksa menemankannya di hospital sepanjang rawatan.
“Adam terpaksa berulang-alik ke hospital, dan membuat kerja sekolah sambil menemani saya.
“Jadi lebih baik saya uruskan keadaan kaki secepat mungkin supaya kami dapat teruskan hidup,” katanya tentang anak lelakinya, seorang pelajar Menengah 3 di Sekolah Menengah St. Gabriel.
Meskipun masih muda remaja, Syed Adam terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai penjaga utama ibunya.
“Setiap hari saya uruskan ibu saya, masak dengan tunjuk ajarnya, dan bantu mengemas rumah.
“Kami hanya berdua dan ibu saya adalah sumber kekuatan saya. Kami berdua sangat rapat, dan saya tidak boleh bayangkan hidup tanpanya,” kata Syed Adam.
Menurut Cik Suriatini pula: “Adam anak yang cerdas, rajin dan selalu membantu saya membuat kerja rumah.
“Kehidupan mendewasakan Adam tetapi saya mahu dia berjaya dalam pelajaran dan hidupnya juga.
“Saya selalu mengingatkannya, semua orang ada masalah, tetapi bagaimana kita mengatasinya adalah segala-galanya.”
Syed Adam bercita-cita mahu menjadi seorang juruterbang apabila dewasa kelak, supaya dia dapat membawa ibunya mengelilingi dunia.
Dia juga gemar mengumpul bendera dari negara asing sebagai koleksi.
Jika pada 2022 Cik Suriatini diduga dengan kaki yang perlu dipotong, namun, cahaya terang yang diharapkan menjadi kelam.
Pada 2024, keadaan matanya semakin memburuk.
Sebelum kakinya dikudung, Cik Suriatini mengalami jangkitan di mata kiri pada 2017.
Penglihatannya pada mata itu kemudiannya rosak dan beliau menjadi buta sekitar 2020, walaupun telah mendapat rawatan.
Kemudian, selepas Hari Raya Aidilfitri 2024, Cik Suriatini mendapati mata kanannya turut mengalami nasib serupa ekoran jangkitan dan glaukoma.
Akibatnya, beliau kini hidup dalam serba kegelapan.
“Saya tidak dapat melihat sekarang. Semuanya gelap saja. Ini cubaan hidup saya dan saya terima walaupun berat.
“Selama dua tahun sebelum ini saya menyepikan diri kerana tidak sanggup menjawab pertanyaan demi pertanyaan tentang keadaan saya.
“Saya rasa tewas dan kini tidak dapat bekerja, walaupun ramai yang menanyakan tentang masakan saya,” tambahnya.
Cik Suriatini pernah mengendalikan sebuah kafe dan menjalankan perniagaan makanan dari rumah untuk meraih pendapatan.
Kini beliau tidak lagi dapat melakukan pekerjaan itu.
Mujur, beliau menginap di kediamannya sekarang iaitu sebuah flat sewa satu bilik di Serangoon sejak 2023.
Menurutnya, beliau dapat mengenal pasti susun atur rumahnya sebelum kededua belah matanya menjadi buta.
Beliau kini bergerak di sekitar rumah dengan berkerusi roda.
Apabila Syed Adam tiada di rumah, beliau dapat menguruskan dirinya jika perlu ke tandas, selain makan makanan yang Syed Adam telah siapkan.
Walaupun dunianya kini gelap, suaranya tetap garau dan penuh bersemangat tatkala bercerita kepada wartawan nasib yang menimpanya.
Ia menggambarkan seorang individu yang positif dalam menyahut cabaran kehidupan dan membuka lembaran baru.
Ternyata di sebalik suaranya yang garau itu, Cik Suriatini sebenarnya memiliki bakat menyanyi.
Beliau pernah menduduki tempat kedua dalam pertandingan nyanyian, ‘Shiok Karaoke’, anjuran radio Warna 942 pada November 2023.
Pada 29 Jun kelak, beliau teruja dijemput menyanyi di kafe 1819 yang terletak di Aliwal Street.
“Saya tak sabar ingin menyumbangkan suara dan bakat saya di sana.
“Sekurang-kurangnya, ada juga pendapatan sedikit sebanyak.
“Lagi pun, siapa yang ingin menjemput penyanyi buta dan berkaki satu ini?” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg