Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ICA akan sekat pelancong berisiko tinggi naik kapal, pesawat tuju S’pura

Pengendali pengangkutan boleh didenda sehingga $10,000 jika gagal patuhi arahan larangan
Jul 31, 2025 | 7:45 PM
ICA, K Shanmugam, pelancong, ICA Services Centre, ISC
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (depan, dua dari kiri), diberi taklimat semasa menghadiri majlis perasmian Pusat Perkhidmatan ICA (ISC) di Crawford Street pada 31 Julai. Beliau berkata transformasi Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berlaku ketika jumlah pelancong merentas sempadan semakin meningkat. - Foto ST

Pelancong berisiko tinggi atau yang mungkin menimbulkan ancaman kesihatan, keselamatan atau imigresen kepada Singapura akan dilarang menaiki pengangkutan udara atau laut untuk ke negara ini.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) boleh mengeluarkan arahan larangan naik (NBD) kepada pengendali pengangkutan bagi menghalang pelancong berisiko tinggi daripada menaiki kapal dan penerbangan menuju ke Singapura.

ICA merancang untuk melaksanakan NBD ini bagi menghalang ketibaan di pusat pemeriksaan udara mulai 2026 dan di pusat pemeriksaan laut mulai 2028, lapor The Straits Times (ST).

Pengendali pengangkutan yang gagal mematuhi NBD boleh didenda sehingga $10,000.

Langkah ini diambil susulan Akta Pindaan Imigresen yang berkuat kuasa pada 31 Disember 2024.

Rancangan awal, kali pertama dilaporkan pada 2023, untuk menghalang penumpang berisiko melalui pusat pemeriksaan darat ke Singapura telah menghadapi rintangan.

Ini kerana pengendali bas akan diperlukan mengumpul dan menyalurkan maklumat penumpang terlebih dahulu. 

Pengendali bas merentasi koswe menyatakan ia sukar dilaksanakan dan mungkin menjejaskan perniagaan. 

Pada 31 Julai 2025, ICA berkata walaupun mengumpul maklumat penumpang dan anak kapal terlebih dahulu telah menjadi kebiasaan bagi pengendali syarikat penerbangan dan kapal, maklumat sedemikian pada umumnya tidak tersedia di pusat pemeriksaan darat.

Sementara itu, peningkatan kepada keselamatan sempadan Singapura, termasuk melalui keupayaan profil dan pengesanan baru, telah membolehkan ICA mengenal pasti lebih ramai pelancong berisiko tinggi sebelum ketibaan mereka di Singapura.

Ini menghasilkan peningkatan 43 peratus dalam bilangan warga asing yang dinafikan masuk ke negara ini pada separuh pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Mereka yang boleh dinafikan masuk termasuk yang pernah dilarang daripada memasuki negara ini selepas disabitkan kesalahan , termasuk mereka yang pernah dihalang selepas disabitkan dengan beberapa jenayah.

Pada 31 Julai, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam menghadiri majlis perasmian Pusat Perkhidmatan ICA (ISC) di Crawford Street. 

Pusat tersebut, yang mula beroperasi pada April, terletak bersebelahan bangunan ICA. 

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata transformasi ICA berlaku ketika jumlah pelancong merentas sempadan semakin meningkat.

Beliau berkata jumlah pelancong melalui pusat pemeriksaan Singapura meningkat kepada 230 juta pada 2024, berbanding 197 juta pada 2015.

Encik Shanmugam berkata jumlah pelancong dijangka terus meningkat dengan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) dijangka beroperasi pada Disember 2026; Terminal 5 Lapangan Terbang Changi menjelang pertengahan 2030-an; dan pengembangan Pusat Pemeriksaan Woodlands sepanjang 10 hingga 15 tahun akan datang. 

Beliau berkata:

“Had tenaga kerja ICA tidak boleh berkembang tanpa had, jadi kami bergantung lebih kepada teknologi untuk menampung permintaan ini dan menguruskan persekitaran keselamatan yang lebih kompleks.”

Dengan itu, ICA berkata ia telah mencapai visi mengubah operasi pelepasan pusat pemeriksaan dengan menjadi antara agensi sempadan pertama di dunia yang melaksanakan pelepasan imigresen tanpa pasport.

Ini sebahagian daripada Konsep Pelepasan Baru yang diumumkan kali pertama pada 2019 untuk mempercepat dan memudahkan imigresen. 

Pelancong yang masuk dan keluar Singapura kini boleh melepasi imigresen secara automatik tanpa pasport.

Ini termasuk penggunaan imbasan biometrik wajah atau iris di pusat pemeriksaan udara dan laut, atau kod Respons Pantas (QR) di pusat pemeriksaan darat. 

Sehingga 30 Jun, ICA berkata sekitar 93 juta pelancong telah melepasi imigresen menggunakan sistem ini.

Encik Shanmugam berkata penggunaan kod QR di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas mengurangkan masa pelepasan sehingga 30 peratus berbanding sebelum ini.

ICA merancang melaksanakan Sistem Pelepasan Penumpang Automatik (APCS) di Pusat Pemeriksaan Tuas menjelang akhir 2026 untuk mereka yang menaiki kereta, motosikal dan kenderaan kargo, tanpa perlu menggunakan kaunter yang mempunyai pegawai. 

APCS akan dilaksanakan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada lain masa.

ICA berkata sekitar 95 peratus perkhidmatannya kini digital, dengan lebih 95 peratus orang awam menghantar permohonan secara dalam talian. 

Timbalan Pengarah Operasi Pelanggan ICA, Superintenden Kalaivanan Pannerchilvam berkata:

“Satu ciri utama ISC adalah kios pengambilan sendiri, di mana pelanggan yang layak boleh mengambil pasport dan kad pengenalan menerusi kios-kios ini pada bila-bila masa dalam tarikh janji temu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg