Hanya 10 saat diperlukan untuk melepasi imigresen di Lapangan Terbang Changi dengan hanya menggunakan biometrik seorang individu.
Pada 24 Oktober, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata ia telah melaksanakan sepenuhnya sistem inisiatif pelepasan tanpa pasport di semua empat terminal di Lapangan Terbang Changi sejak 30 September 2024.
Dengan pelaksanaan penuh sistem tersebut, yang dimanfaatkan hampir 1.5 juta pelancong, masa pelepasan bagi setiap pelancong secara purata dikurangkan sebanyak 60 peratus.
Rakyat Singapura yang tiba dan yang berlepas, termasuk warga Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang, boleh melepasi imigresen dengan hanya menggunakan biometrik wajah dan iris mata tanpa perlu menunjukkan pasport mereka.
Bercakap kepada media pada 24 Oktober di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Alan Koo, berkata:
“Masa proses pelepasan imigresen secara purata bagi setiap pelancong telah dikurangkan daripada 25 saat kepada 10 saat.
“Dengan proses pelepasan imigresen secara automatik menjadi satu kebiasaan bagi pusat pemeriksaan, pegawai ICA kini boleh mengambil tugasan yang lebih mencabar dalam misi melindungi sempadan kita.”
Menurut Pegawai Penilaian dan Siasatan ICA, Inspektor Pusat Pemeriksaan (CI) Muhammad Firdaus Rosli, yang bertugas di ICA sejak 2007, kecekapan sistem ini telah membantu beliau sebagai kakitangan ICA jimatkan masa.
“Dengan adanya sistem pemeriksaan baru ini, ia mengurangkan masa pelepasan dan memudahkan perjalanan individu. Sebabnya setibanya di lapangan terbang, biasanya penumpang akan berasa lesu selepas penerbangan mereka yang lama,” tambah Encik Firdaus.
Untuk menggunakan sistem itu, para pelancong dikehendaki menghantar Kad Ketibaan SG secara dalam talian tiga hari sebelum ketibaan mereka di Lapangan Terbang Changi.
Setelah berada dalam kawasan transit, biometrik wajah dan iris mata seorang individu akan diimbas di lorong automatik.
ICA turut berkongsi rancangan bagi melanjutkan pilihan kod QR kepada penumpang bas dan inisiatif sistem pelepasan tanpa pasport kepada pelancong di Pusat Kapal Pelayaran Marina Bay, menjelang Disember 2024.
Bagi pelawat asing, mereka masih perlu menunjukkan pasport untuk pemeriksaan imigresen setibanya di Singapura.
Golongan ini boleh menikmati pelepasan tanpa pasport di Lapangan Terbang Changi hanya apabila mereka berlepas dari Singapura.
“Sedang kita melaksanakan pelepasan imigresen tanpa pasport di pusat pemeriksaan Singapura, para pelancong masih perlukan pasport untuk pemeriksaan imigresen di luar negara,” kata ICA.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada konsep pemeriksaan imigresen baru yang diumumkan pada 2019 untuk menyediakan sistem pelepasan imigresen yang lebih pantas dan selamat.
Di pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas, para pelancong yang menaiki kereta kini boleh melepasi imigresen menggunakan kod QR dan bukannya pasport mereka sejak Mac 2024.
Penunggang motosikal pula boleh gunakan kod QR sejak Ogos pada tahun yang sama.
Secara kesuluruhan, lebih 70 peratus pelancong di kededua pusat pemeriksaan darat telah menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg