Pengembara yang melalui Pusat Kapal Pelesiran Marina Bay Singapura akan dapat menikmati proses imigresen lebih mudah dan pantas mulai Disember, lapor The Straits Times (ST).
Ini kerana Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan melancarkan pelepasan imigresen tanpa pasport di kesemua terminal feri sebagai usaha mengautomasi proses dan menghapuskan keperluan untuk pemeriksaan pasport.
ICA berkata pengembara akan mula memanfaatkan pelepasan imigresen secara bertahap-tahap dengan menggunakan sama ada pengimbas muka dan iris mata di pusat pemeriksaan udara dan laut, atau melalui kod QR di pusat pemeriksaan darat.
Sementara itu, pelepasan imigresen dengan kod QR di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas akan diperluas kepada penunggang motosikal dan kenderaan kargo pada Ogos, dan penumpang bas menjelang Disember.
Menurut ICA, lebih 70 peratus pengembara kereta dan pemandu bas kini memanfaatkan pelepasan imigresen dengan kod QR, sebahagian besarnya penduduk Singapura, termasuk warga negara, pemastautin tetap dan pemegang pas jangka panjang.
Proses itu juga akan dilancarkan secara progresif menjelang Ogos di Lapangan Terbang Changi.
Uji cuba pelepasan bebas pasport bagi penduduk Singapura yang tiba akan dijalankan di lorong automatik terpilih di Terminal 3 lapangan terbang mulai 5 Ogos.
Kemudahan tersebut dijangka dilaksanakan sepenuhnya di Lapangan Terbang Changi menjelang September.
Timbalan pengarah bahagian operasi ICA, Penolong Pesuruhjaya Phua Chiew Hua, berkata:
“ICA sentiasa berusaha untuk menambah baik pengalaman pelepasan imigresen... apabila dilaksanakan sepenuhnya, kedua-dua jenis pelepasan imigresen tanpa pasport akan mengurangkan masa pelepasan sebanyak 30 hingga 40 peratus.”
Menurutnya, Singapura adalah negara pertama yang melaksanakan kemudahan tersebut secara besar-besaran.
Pada 31 Julai, ICA telah menunjukkan demonstrasi kepada pihak media proses itu di Pusat Kapal Pelesiran Marina Bay Singapura.
Pengembara akan dapat melalui gantri tanpa perlu mengemukakan pasport atau dokumentasi.
Sebaliknya, ia akan diperiksa secara automatik oleh pengimbas muka dan biometrik.
Kesemuanya selesai hanya dalam beberapa saat.
ICA berkata pusat pemeriksaan darat hanya boleh menggunakan pelepasan kod QR kerana mereka tidak memberi sebarang notis awal kepada ICA apabila melintasi sempadan.
Ia juga berkata pelepasan bebas pasport di pusat pemeriksaan udara dan laut akan mengurangkan masa sebanyak 40 peratus dan di pusat pemeriksaan imigresen sebanyak 30 peratus.
Tetapi semua pengembara masih perlu membawa bersama pasport kerana ia diperlukan di luar negara dan kadangkala ICA perlu memeriksanya untuk pengesahan.
Kedua-dua penduduk Singapura dan pelancong asing akan meraih manfaat daripada proses pelepasan baru ini.
Di pusat pemeriksaan udara dan laut, penduduk Singapura akan dapat memanfaatkan kemudahan tersebut semasa ketibaan dan pelepasan, manakala pelancong asing sewaktu mereka meninggalkan negara ini.
Bagaimanapun, kanak-kanak di bawah umur enam tahun tetap perlu menggunakan pasport kerana mereka terlalu muda untuk pengimbasan biometrik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg