Penceroboh bersiri yang menyerbu pelakon Ariana Grande semasa tayangan perdana filem di Universal Studios Singapore (USS) telah dihantar balik ke Australia pada 23 November, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Menurut ICA, Johnson Wen, 26 tahun, dilarang daripada memasuki Singapura.
Warga Australia itu telah dijatuhi hukuman penjara sembilan hari pada 17 November selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan gangguan awam, lapor The Straits Times (ST).
Wen tiba di Singapura pada 11 November dengan pas lawatan sosial selama 90 hari untuk menghadiri tayangan perdana filem dan bercuti.
Dia telah mencetuskan kekecohan semasa tayangan perdana filem Wicked: For Good pada 13 November dengan meluru ke arah Grande, bintang filem tersebut.
Wen melompat melepasi penghadang ketika para pelakon berjalan di karpet kuning antara 7 malam hingga 7.10 malam pada 13 November.
Apabila dia tiba di hadapan Grande, dia meletakkan tangannya di bahu Grande sambil melompat-lompat.
Wen dihentikan oleh rakan pelakon Grande, Cynthia Erivo, yang memaksa dirinya berada di antara mereka sementara pengawal keselamatan menahannya.
Selepas dibawa pergi, dia kembali cuba melompat penghadang kali kedua, tetapi ditahan pengawal keselamatan.
Kemudian pada malam yang sama, Wen memuat naik video insiden tersebut di akaun Instagram dan TikToknya.
Dia telah ditangkap di Temple Street pada 14 November dan didakwa pada hari yang sama.
Wen terkenal kerana mengganggu beberapa acara antarabangsa, seperti konsert Katy Perry di Sydney pada Jun.
Hakim Daerah Christopher Goh menjatuhkan hukuman lebih berat daripada satu minggu penjara yang diminta, kerana ini bukan kali pertama Wen melakukan perbuatan serupa dan sebelum ini, dia tidak dikenakan sebarang hukuman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg