JOHOR BAHRU: Satu lagi sistem kod QR baru untuk pengembara Malaysia telah dimulakan, dengan lebih 35,000 orang mendaftar untuk mempercepatkan pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan sempadan merentasi Singapura.
Sistem MyRentas, yang bermula kira-kira tiga minggu selepas sistem MyTrip dilaksanakan pada 1 Jun, boleh digunakan penumpang bas yang merentasi sempadan melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.
Setakat ini, lebih 150,000 orang yang kebanyakannya mengembara secara kerap, telah mendaftar untuk kededua aplikasi MyTrip, yang digunakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KSAB) Sultan Abu Bakar di Linkedua sejak 1 Jun, dan MyRentas di BSI.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kededua sistem itu masih dalam percubaan dan tempoh pembuktian konsep selama tiga bulan.
Aplikasi pertama, dikenali sebagai MyTrip, yang digunakan melalui aplikasi MySejahtera bermula 1 Jun, manakala MyRentas bermula pada 23 Jun.
Encik Mohamad Fazli berkata setakat ini MyRentas hanya tersedia untuk pengembara Malaysia yang menggunakan telefon mudah alih Android.
“Kita akan lihat mana satu yang paling sesuai digunakan di pusat pemeriksaan Malaysia dan Singapura,” katanya, lapor The Star.
Ditanya mengenai masalah berbangkit selepas pelaksanaan transformasi itu, Encik Mohamad Fazli berkata antara isunya ialah kelewatan menjana kod QR berikutan tahap kelajuan capaian Internet yang rendah di pusat pemeriksaan terutama pada waktu sibuk.
“Kami sedang mencari cara untuk menangani isu ini,” katanya sambil menambah bahawa secara keseluruhannya tiada aduan utama membabitkan sistem kod QR diterima pihaknya setakat ini.
Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa selain aplikasi kod QR, terdapat cara lain untuk pelepasan imigresen, termasuk kaunter manual dan kemudahan eGate.
Difahamkan bahawa aplikasi lain, mungkin dikenali sebagai MyBorderPass, juga akan dimulakan tidak lama lagi untuk menggantikan sistem Mbike yang bermula kira-kira lapan tahun lalu dan bermasalah untuk penunggang motosikal.
Menurut laporan, aplikasi kod QR MyTrip dan MyRentas boleh mengurangkan masa pelepasan pusat pemeriksaan imigresen untuk bas yang penuh dengan penumpang sebanyak lebih 75 peratus.
Sistem baru itu mampu melaksanakan pelepasan untuk purata kira-kira 20 penumpang dalam masa kurang daripada lima minit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg