Wang Dehai, yang terakhir daripada 10 warga asing yang mengaku bersalah dalam kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion, telah dihantar pulang ke United Kingdom.
Dia dihantar pulang pada 6 Julai selepas menjalani kira-kira 11 bulan daripada hukuman penjara 16 bulan.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memberitahu The Straits Times (ST) pada 8 Julai bahawa Wang, 35 tahun, dilarang daripada memasuki semula Singapura.
Warga Cyprus itu, asal China, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan pada Jun selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pengubahan wang haram.
Dia bersetuju lebih daripada $49 juta asetnya dirampas kepada negara.
Pada 2 Julai, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata di Parlimen bahawa sementara mereka yang mempunyai pelbagai pasport boleh memohon negara mana mereka ingin dihantar pulang, Singapura akan menghantar pulang mereka ke negara yang berkemungkinan besar menerima mereka.
Pengusiran Wang bermakna sembilan daripada 10 yang disabitkan dalam kes pengubahan wang haram terbesar Singapura telah meninggalkan negara ini.
Su Wenqiang dan Wang Baosen merupakan dua lelaki pertama yang meninggalkan Singapura pada 6 Mei.
Mereka dihantar pulang ke Kemboja selepas menjalani kira-kira lapan setengah bulan daripada hukuman penjara 13 bulan mereka.
Su Baolin dan Su Haijin masing-masing dihantar pulang ke Kemboja pada 25 dan 28 Mei, manakala Vang Shuiming dihantar pulang ke Jepun pada 1 Jun.
Su Baolin dan Su Haijin masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada April.
Vang dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dan enam minggu pada Mei. Ketiga-tiga lelaki itu masing-masing telah menjalani hukuman penjara selama sembilan setengah bulan.
Chen Qingyuan, Zhang Ruijin dan Lin Baoying telah dihantar pulang ke Kemboja pada 15 Jun. Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan menjalani hukuman selama 10 bulan.
Ini menjadikan Su Jianfeng, yang dijatuhi hukuman penjara 17 bulan pada Jun, sebagai pesalah terakhir dalam kes ini yang masih di Singapura.
Sepuluh warga asing itu ditangkap pada Ogos 2023 apabila polis melakukan serbuan di seluruh pulau dalam siasatan pengubahan wang haram yang menyaksikan lebih daripada $3 bilion aset dirampas.
Lagi 17 orang yang melarikan diri dari negara semasa siasatan masih dalam pelarian.
Jurucakap ICA berkata pada Jun bahawa banduan-banduan dihantar pulang dengan penerbangan paling awal sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara mereka.
Mereka diiringi terus dari penjara ke lapangan terbang untuk dihantar pulang dan tidak dibenarkan ke kediaman mereka dahulu untuk mengambil barang-barang mereka, tambah jurucakap itu.
Menurut ICA, teknologinya untuk pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan Singapura membolehkannya mengesan individu yang telah dihantar pulang walaupun mereka cuba memasuki semula Singapura menggunakan identiti atau pasport lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg