Angka $6 bilion yang didedahkan pemerintah Singapura berkaitan rampasan yang dilakukan pihak berkuasa berkaitan kegiatan jenayah dan pengubahan wang haram antara Januari 2019 dengan Jun 2024 adalah agak besar.
Namun ia juga menunjukkan kesungguhan negara ini dalam memerangi jenayah pengubahan wang haram yang bukan hanya berlaku di negara ini, bahkan berleluasa di negara serantau dan peringkat sejagat.
Berkaitan angka berkenaan, kira-kira $416 juta telah dapat dikembalikan kepada mangsa manakala $1 bilion telah dirampas pemerintah Singapura.
Menurut data Interpol, sekitar AS$2 trilion hingga AS$3 trilion ($2.7 trilion hingga $4.06 trilion) nilai hasil haram disalurkan melalui sistem kewangan global setiap tahun.
Namun kadar mendapatkan semula dana haram adalah rendah, iaitu 3 peratus, walaupun ia telah meningkat daripada 1 peratus sedekad lalu.
Dalam skandal pengubahan wang haram terbesar Singapura, kes itu melibatkan sekumpulan penjenayah dari China yang mengubah wang haram bernilai lebih $3 bilion daripada kegiatan judi dalam talian, dan meletakkan wang mereka di sekitar 16 institusi kewangan di Singapura.
Skandal tersebut telah mencemar imej Singapura dan sekali gus mendedahkan kelemahan dalam cara bank dan firma pembrokeran tempatan dan asing dalam proses menyaring pelanggan mereka.
Menyusuli skandal itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) baru-baru ini selesai menjalankan pemeriksaan di beberapa bank yang terlibat dalam kes itu.
Bank yang paling banyak berurusan dengan penjenayah – melalui akaun deposit, pinjaman dan khidmat kewangan lain – dijangka dikenakan denda dan beberapa langkah hukuman lain daripada pengawal selia kewangan itu.
Kesemuanya, 10 tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara antara 13 dengan 17 bulan ekoran skandal kewangan itu. Seramai 17 orang lagi yang kini dalam siasatan belum dapat dikesan setakat ini.
Singapura perlu bangunkan dan perkukuh semula imejnya ekoran skandal itu. Namun, sama penting adalah pihak berkuasa Singapura tidak menyembunyikan kes itu, malah secara berterusan memberi maklumat kepada media dan awam akan siasatan yang dijalankan selain hukuman yang dikenakan terhadap penjenayah, termasuk menyita sebahagian besar wang haram mereka.
Sebagai hab kewangan serantau dan antarabangsa, Singapura perlu memastikan sistem kewangannya tidak boleh diperkotak-katik oleh penjenayah yang telah memperdaya ramai mangsa di dalam dan luar negara untuk mengaup wang secara jenayah.
Malah, jika mereka masih mahu melakukan perkara itu di sini, pastikan padah dan hukuman yang bakal diterima adalah berat dan tegas.
Ini termasuk penyitaan wang tunai, hartanah dan aset yang mereka peroleh secara haram di samping hukuman penjara.
Golongan penjenayah ini perlu tahu bukan sahaja peraturan dan kawal selia di negara ini ketat dan tegas, bahkan hukumannya juga berat yang membuatkan mereka perlu berfikir berkali-kali jika mahu melakukan pengubahan wang haram di sini atau menjadikan negara ini sebagai pusat operasi pengubahan wang haram mereka.
Dengan peraturan menyeluruh dan ketat serta hukuman berat, Singapura akan lebih diyakini ramai pelabur dan hartawan tulen dan berwibawa untuk melabur aset mereka di sini yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg