Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ICA rampas lebih 850 vape, komponen di pusat pemeriksaan S’pura

Pemeriksaan diadakan selama 5 hari di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut
Aug 23, 2025 | 2:36 PM
ica, vape
Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) merampas tiga vape daripada sepasang suami isteri di balai ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, pada 22 Ogos. - Foto ST

Sepasang suami isteri berusia lewat 20-an menyerahkan tiga vape kepada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, pada 22 Ogos.

Setelah mengambil bagasi, seorang pegawai ICA bertanya jika mereka membawa vape atau barang larangan lain. 

Lelaki itu mengeluarkan satu vape daripada poketnya, manakala wanita itu menyerahkan dua vape daripada beg tangannya, lapor The Straits Times (ST).

Lelaki itu sempat bertanya, “Tak boleh bawa ini?”

Pegawai ICA menjelaskan vape dilarang di Singapura dan memberi amaran tentang denda jika kesalahan sama berulang.

Antara 18 dengan 22 Ogos, sebanyak 184 kes vape dikesan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut Singapura. Lebih 850 vape serta komponennya dirampas.

Pegawai ICA turut menemui lebih 2,400 paket tembakau kunyah dan lebih 53,000 karton serta 3,900 paket rokok tanpa cukai dalam tempoh yang sama.

Pihak ICA mengumumkan angka tersebut pada 23 Ogos selepas pemeriksaan ketat terhadap vape sepanjang minggu itu. 

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha penguatkuasaan yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos.

Berikutan peningkatan vape yang mengandungi bahan berbahaya dan ketagihan seperti etomidate, Encik Wong menegaskan bahawa pemerintah akan menganggap penggunaan vape sebagai isu dadah serta mengenakan hukuman yang lebih berat.

Vape diharamkan di Singapura sejak 2018, dan individu yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh dikenakan denda sehingga $2,000.

Pihak ICA mempunyai beberapa cara untuk mengesan pengguna dan penyeludup vape.

Pusat Sasaran Bersepadu (ITC) mereka menggunakan analisis data untuk memeriksa pelancong, pengangkutan dan kargo sebelum tiba di Singapura.

Mereka yang dianggap berisiko tinggi akan disaring untuk pemeriksaan setibanya di negara ini.

Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) membuang vape selepas merampasnya daripada seorang pelancong di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, pada 22 Ogos.
Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) membuang vape selepas merampasnya daripada seorang pelancong di Terminal 1, Lapangan Terbang Changi, pada 22 Ogos. - Foto ST

Selain itu, pegawai ICA menggunakan pengimbas radiografi dan X-ray serta peranti pengesan tangan untuk meneliti barang larangan yang diseludup.

Pada 22 Ogos, media dijemput menyaksikan pegawai ICA melakukan pemeriksaan lebih ketat di Pusat Pemeriksaan Tuas dan Terminal 1.

Tong merah khas untuk vape dan tanda larangan vape dipamerkan dengan jelas di lokasi tersebut.

Pelancong tidak akan dikenakan tindakan jika mereka membuang vape atau mengisytiharkan peranti tersebut kepada pegawai ICA, kecuali jika terdapat alasan untuk siasatan lanjut.

Di Terminal 1, pegawai ICA menemui sekurang-kurangnya tujuh vape dalam tempoh dua jam.

Pegawai ICA menahan beberapa pelancong yang telah mengambil bagasi mereka dan mengarahkan mereka menuju pengimbas X-ray untuk pemeriksaan lanjut.

Di Pusat Pemeriksaan Tuas, pegawai ICA bertanya kepada pelawat di balai ketibaan bas, lorong kereta dan motosikal mengenai vape atau rokok untuk diisytiharkan. 

Dua penumpang bas menyerahkan vape mereka.

Setiap kereta dan motosikal diperiksa, termasuk ruang dalam kereta, but, helmet dan jaket motosikal.

Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memeriksa but kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 22 Ogos.
Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memeriksa but kereta di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 22 Ogos. - Foto ST

Komander pembantu kanan Pusat Pemeriksaan Tuas, Superintendan Toh Eng Siong, berkata pelancong yang membawa vape perlu mengisytiharkannya kepada pegawai ICA di pusat pemeriksaan.

Beliau menambah: “Mereka yang gagal mengisytiharkan dan dikesan memiliki vape akan dikenakan denda atau dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.”

Antara Januari 2024 hingga Mac 2025, HSA merampas vape bernilai $41 juta – hampir lima kali ganda nilai vape yang dirampas dari 2019 hingga akhir 2023.

Sesiapa yang mengedar, mengimport atau menjual vape dan komponennya boleh dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga $10,000.

Mereka yang didapati memiliki atau menggunakan vape yang mengandungi etomidate – bahan yang diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun – boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga $10,000.

Kesalahan berkaitan vape boleh dilaporkan kepada HSA di talian 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau secara dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg