Pelawat dari Singapura dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Johor kerana kesesakan trafik dijangka berterusan di Koswe, Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas hujung minggu ini, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Kesesakan trafik di kededua pusat pemeriksaan ini sejak bermulanya cuti sekolah Mac – yang bermula pada 14 Mac dan akan berakhir pada 24 Mac – semakin teruk akibat monsun, ujar ICA dalam hantaran di Facebook pada 21 Mac.
Hujan lebat telah melanda Singapura dan Johor sejak 19 Mac, menyebabkan amaran risiko banjir dikeluarkan untuk beberapa kawasan selama dua hari berturut-turut.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) meramalkan hujan lebat itu akan berterusan hingga 21 Mac.
Pihak berkuasa berkata mereka yang memasuki Johor dengan kereta dan motosikal terpaksa menunggu lebih dua jam untuk melalui pemeriksaan imigresen, lapor The Straits Times (ST).
“ICA menjangka kesesakan trafik yang berterusan hujung minggu ini (22 Mac dan 23 Mac) dan menasihatkan pelawat agar menangguhkan perjalanan yang tidak penting, jika boleh,” katanya.
Dalam butiran terkini pada 21 Mac, 9.22 pagi, ICA berkata terdapat kesesakan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands bagi mereka yang menuju ke Johor, disebabkan oleh kesesakan dari Malaysia.
ICA turut menasihatkan pemandu supaya mengelakkan daripada memotong barisan, terutama disebabkan oleh jarak penglihatan yang terhad akibat hujan serta kejadian nahas jalan raya yang berlaku pada 19 Mac.
“Bagi mereka yang ingin meneruskan perjalanan, diingatkan bahawa kemungkinan akan berlaku kelewatan. Disarankan untuk memeriksa keadaan trafik terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan,” kata ICA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg