Kes seorang pengundi tunggal di daerah mengundi dalam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Tampines Changkat yang baru sedang disiasat Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Perkara itu terdedah selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) mengeluarkan laporannya pada 11 Mac, menjelang pilihan raya umum akan datang.
“ICA sedang menyiasat kes pengundi tunggal itu dan tidak dapat memberi maklumat lanjut pada masa ini,” kata ICA kepada The Straits Times (ST).
Dalam laporan itu, seorang pengundi disenaraikan di bawah daerah mengundi East Coast 42, yang berada di bawah SMC Tampines Changkat yang baru dalam pilihan raya akan datang.
Laporan itu berdasarkan Daftar Pengundi pada 1 Februari.
Namun, pemeriksaan oleh ST mendapati tiada kediaman sah diketahui di daerah mengundi tersebut pada masa itu, kerana kawasan tersebut hanya terdiri daripada empat projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan datang dan sebuah kawasan perindustrian.
Tiga daripada projek BTO itu masih dalam pembinaan, dan projek Tampines GreenEmerald baru sahaja siap, dengan penduduk pertama menerima kunci rumah mereka pada 23 Februari.
Menjawab soalan ST, ICA berkata di bawah Akta Pendaftaran Kebangsaan, semua pemegang kad pengenalan (IC) diwajibkan melaporkan perubahan alamat dalam tempoh 28 hari selepas berpindah ke kediaman baru, baik di dalam mahupun luar negara.
Laporan itu boleh dilakukan dalam talian melalui perkhidmatan e-perubahan alamat ICA.
“Alamat yang dinyatakan oleh individu harus berdasarkan tempat kediaman fizikalnya,” kata agensi itu.
“Ini memastikan agensi pemerintah dapat menghubungi individu dengan tepat untuk pelbagai tujuan, termasuk pendaftaran pengundi, pengesanan kontak semasa kecemasan kesihatan dan urusan pentadbiran lain.”
ICA menekankan adalah penting bagi pemegang IC membuat pengisytiharan yang benar, kerana alamat itu berfungsi sebagai titik rasmi hubungan dengan agensi pemerintah.
Ia turut menyatakan jika pemilik hartanah atau premis telah menetapkan peraturan melarang penggunaan premis mereka sebagai tempat tinggal, adalah tanggungjawab pemilik untuk menguatkuasakan peraturan tersebut.
ICA menambah bahawa adalah “tidak praktikal” untuknya memeriksa setiap tempat tinggal yang diisytiharkan oleh individu, atau memastikan dengan pemilik premis apakah mereka melarang orang tinggal di bangunan komersial atau industri mereka.
Sesiapa yang tidak melaporkan perubahan alamat atau memberi alamat palsu boleh didenda hingga $5,000 dan dipenjara hingga lima tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg