Pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesan 30 pemandu melakukan kesalahan lalu lintas di Pusat Pemeriksaan Woodlands sepanjang hujung minggu panjang Hari Vesak, dari 28 Mei hingga 1 Jun lalu.

Antara mereka termasuk pemandu sembilan kenderaan berdaftar asing yang telah dikenakan larangan masuk ke Singapura atas kesalahan seperti melanggar garisan berkembar putih dan memotong barisan.

Dalam kenyataannya pada 5 Jun, ICA berkata kesemua 30 pemandu itu ditahan ketika dalam perjalanan keluar dari Singapura kerana pelbagai kesalahan, termasuk melintasi garisan berkembar putih, membuat pusingan kanan secara haram, memotong barisan serta berhenti di lokasi yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain atau menyebabkan halangan dan kesulitan.

Menurut The Straits Times (ST), selain sembilan pemandu kenderaan berdaftar asing itu, 21 pemandu lain diarah membuat pusingan U dan beratur semula.

ICA turut memaklumkan separuh daripada 30 pemandu yang ditahan itu telah dirujuk kepada Polis Trafik (TP) untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, ICA menggesa supaya orang ramai mematuhi undang-undang lalu lintas dan mengekalkan disiplin yang ditetapkan untuk lorong ketika menggunakan pusat pemeriksaan darat.

Menurut ICA, kegagalan berbuat demikian boleh menjejas keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sebelum ini, ICA telah memberi amaran bahawa kesesakan lalu lintas dijangka berlaku sepanjang hujung minggu panjang berkenaan dan mengingatkan pemandu supaya memberi kerjasama kepada pegawai bertugas.