Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ICA temui ganja dalam bungkusan ‘bahan sayuran’ dari luar negara

Jun 14, 2024 | 3:40 PM
Pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui dua paket bahan sayuran yang dipek vakum. Siasatan awal menunjukkan kandungannya adalah ganja.
Pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menemui dua paket bahan sayuran yang dipek vakum. Siasatan awal menunjukkan kandungannya adalah ganja. - Foto ICA/FACEBOOK

Pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) telah menggagalkan satu percubaan menyeludup ganja ke Singapura.

Pada 11 Mei, pegawai ICA di Bahagian Pos Bungkusan mendapati keganjilan pada imej imbasan satu bungkusan dari luar negara, kata ICA dalam satu catatan Facebook pada 13 Jun.

Bungkusan itu diisytiharkan secara palsu sebagai beg perjalanan.

Semasa pemeriksaan lanjut, pegawai menemui dua paket bahan sayuran yang dipek vakum, kata ICA.

Siasatan awal mendapati kandungan itu adalah ganja.

Kes itu dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan lanjut, tambah ICA.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, jurucakap CNB berkata kes itu sedang disiasat.

Ganja adalah bahan terkawal yang disenaraikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Pengedaran, pemilikan, penggunaan, dan import atau eksport sembarang dadah terkawal, termasuk ganja dan produk ganja, adalah satu kesalahan.

Melakukan atau menawarkan untuk melakukan sebarang perbuatan sebagai persediaan bagi atau bertujuan mengedar dadah terkawal juga adalah satu kesalahan.

Seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pada Januari 2022, seorang wanita berusia 20-an tahun ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah, selepas pegawai ICA menggagalkan percubaan menyeludup kira-kira 7 gram produk ganja dalam satu bungkusan.

Dalam satu lagi kes, seorang lelaki warga Singapura berusia 45 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dadah semasa operasi antidadah pada 17 April oleh CNB.

Dalam satu kenyataan pada 18 April, CNB berkata 2,682 gram heroin, 20 gram Ecstasy, 10g Ice (methamphetamine), 10 gram ganja dan dua pil Erimin-5 dirampas semasa operasi itu.

Dadah itu mempunyai nilai anggaran $286,000.

Menurut CNB, jumlah ganja, Ice dan heroin itu boleh memenuhi ketagihan kira-kira 1,280 penagih selama seminggu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg