Seorang lelaki berusia 27 tahun sedang membantu pihak polis dalam penyiasatan setelah kereta yang dipandunya terlanggar motosikal di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) pada 2 Mac.
Menurut pihak polis, mereka diberitahu mengenai kemalangan tersebut pada 11 malam.
Pemandu motosikal, seorang lelaki berusia 39 tahun, dan pemboncengnya, seorang wanita berusia 36 tahun masih sedarkan diri apabila mereka dibawa ke hospital.
Pasangan tersebut telah dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), kata Pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Dalam video yang disebarkan dalam talian, sebuah kereta putih yang sedang menuju ke Pusat Pemeriksaan Woodlands kelihatan telah menukar lorong secara tiba-tiba, sebelum melanggar motosikal Malaysia itu.
Gambar kemalangan itu menunjukkan lelaki berbaju merah terbaring di jalan raya, dengan luka berdarah jelas dilihat di tangan kanannya, bersama topi keledarnya di sebelah.
Mangsa kedua boleh dilihat masih memakai topi keledar, terbaring di jalan raya sementara pengguna jalan raya lain cuba menghulurkan bantuan.
Siasatan polis kini masih dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg