SPH Logo mobile
Langgan|

Idea ‘kecil’ dua sahabat pasar pelekat hidung dapat sambutan besar

Idea ‘kecil’ dua sahabat pasar pelekat hidung dapat sambutan besar

Jul 7, 2025 | 5:30 AM

Idea ‘kecil’ dua sahabat pasar pelekat hidung dapat sambutan besar

Mohamed Khai Irfan Khairudin Samsudin, pelekat hidung, Therapin, mahasiswa NUS
Encik Mohamed Khai Irfan Khairudin Samsudin, memulakan jenama tersendiri untuk menjual pelekat hidung - Foto BH oleh KHALID BABA
Pelekat hidung Therapin yang dijual oleh Encik Irfan dan rakan niaganya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pelekat hidung Therapin yang dijual oleh Encik Irfan dan rakan niaganya mendapat sambutan yang menggalakkan. - Foto THERAPIN

Sesuatu yang bermula secara ‘suka-suka’ berubah menjadi usaha yang menguntungkan bagi Encik Mohamed Khai Irfan Khairudin Samsudin, 23 tahun.

Encik Khai merupakan mahasiswa sepenuh masa tahun kedua dalam jurusan Perniagaan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Namun, bersama rakan baiknya, Encik Cliff Leck, juga 23 tahun, beliau melancarkan pelekat hidung, atau ‘nasal strip’, pada September 2024.

Ia bertujuan membantu penggunanya bernafas dengan lebih baik.

Tanpa diduga, produk serupa plaster yang digunakan untuk melindungi luka kecil itu dan dijual di bawah jenama Therapin, mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pembeli.

Buat masa ini, pasangan itu telah menjual sekitar 10,000 unit pelekat hidung tersebut dan meraih pendapatan sekitar $87,000 dalam tempoh kurang setahun sejak ia dilancarkan.

Bergantung pada modal perniagaan yang berpangkalan di dalam talian, Therapin kini telah ‘menyerantau’ ke Indonesia, kata Encik Irfan.

Beliau dan Encik Leck juga sedang meneroka peluang untuk mempelbagaikan rangkaian produk serta jangkauan masyarakat dalam masa terdekat, termasuk pelekat yang lebih tipis dan ringan.

Encik Cliff Leck Kai Long (kiri) dan Encik Mohamed Khai Irfan Khairudin Samsudin (kanan) pengasas bersama Therapin. Dua anak muda itu melancarkan pelekat hidung, atau ‘nasal strip’, pada September 2024, yang bertujuan membantu pengguna bernafas dengan lebih baik.
Encik Cliff Leck Kai Long (kiri) dan Encik Mohamed Khai Irfan Khairudin Samsudin (kanan) pengasas bersama Therapin. Dua anak muda itu melancarkan pelekat hidung, atau ‘nasal strip’, pada September 2024, yang bertujuan membantu pengguna bernafas dengan lebih baik. - Foto ihsan  MOHAMED KHAI IRFAN

Buat masa ini, pelekat hidung Therapin ditawarkan dalam tiga pilihan warna – hitam, merah jambu dan lutsinar – serta pilihan keempat yang berwarna hitam tetapi beraroma kayu putih.

“Modal permulaan kami hanya sekitar $5,000 dan keseluruhan proses idea dan pembangunan produk mengambil masa kira-kira enam bulan untuk direalisasikan,” kata Encik Irfan.

Menurutnya, beliau percaya produk yang dihasilkan itu lebih unik berbanding produk serupa lain di pasaran.

“Produk kami berbeza daripada produk di pasaran kerana pelekatnya lebih kuat, berprestasi tinggi dan bahan yang digunakan jauh lebih selesa,” katanya semasa ditemui Berita Harian (BH).

Sebahagian besar usaha memasarkan produk tersebut dilakukan oleh Encik Irfan, walaupun beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang itu.

Encik Leck pula menguruskan bahagian operasi dan logistik, kata Encik Irfan.

“Saya memang tiada latar belakang dalam bidang pemasaran, jadi terpaksa belajar sendiri melalui YouTube dan dapatkan nasihat daripada mentor,” ujar beliau.

Namun strategi yang diajukannya – seperti mengedarkan Therapin di gimnasium BFT – telah meraih manfaat yang diingini, antaranya bagi mempertingkat kesedaran mengenai produk tersebut.

Perjalanan beliau dan rakan niaganya untuk memajukan perniagaan tidak mudah, kata Encik Irfan.

Beliau terpaksa mengimbangi usaha perniagaannya itu dengan pengajiannya di universiti dan bekerja sambilan sebagai pemandu di sebuah syarikat penghantar.

Encik Cliff pula bekerja sepenuh masa sebagai pemungut sampah untuk mengumpul dana permulaan bagi perniagaan mereka.

“Kadang-kadang saya harus jawab panggilan klien semasa dalam kelas.

“Bahagian paling mencabar sudah tentu untuk korbankan kehidupan sosial. Saya tak sertai mana-mana kegiatan kokurikulum atau kumpulan kegiatan di sekolah,” tambah Encik Irfan.

Tapi beliau tidak pernah menyesal kerana memutuskan untuk menceburi dunia perniagaan.

“Keputusan terbaik yang saya buat adalah memulakan perniagaan semasa di universiti.

“Peringkat awal membolehkan masa untuk betulkan kesilapan dan mengukuhkan perniagaan.

“Saya percaya saya harus sentiasa bersedia untuk komited kepada perniagaan saya.”

Apabila ditanya tentang nasihat untuk memulakan perniagaan pada usia muda, Encik Irfan menekankan peri penting minat yang mendalam walaupun tanpa pengalaman atau sokongan penuh pada awalnya.

“Sebagai usahawan muda, amat penting untuk tampilkan keyakinan diri apabila membina rangkaian dengan orang ramai dan pihak berkepentingan,ujar beliau.

“Keputusan terbaik yang saya buat adalah memulakan perniagaan semasa di universiti. Peringkat awal membolehkan masa untuk betulkan kesilapan dan mengukuhkan perniagaan. Saya percaya saya harus sentiasa bersedia untuk komited kepada perniagaan saya.”
Encik Mohamed Khai Irfan Khairudin Samsudin, 23 tahun.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg