Dengan tempoh pengajian hanya berbaki dua penggal – sekitar lima bulan – mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Muhammad Rizqin Adam, 24 tahun, mengambil keputusan mengejutkan untuk menangguh pengajiannya itu.
Pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal itu, yang juga anak bongsu dalam keluarga dua beradik, masih berhasrat untuk menggenggam ijazah – tetapi pada 2026, apabila beliau menyambung semula pengajiannya.
Buat masa ini, jiwanya lebih terpaut pada bidang hartanah.
Menurut Encik Rizqin, yang kini bertugas sebagai ejen hartanah sepenuh masa, minat terhadap bidang hartanah itu timbul selepas beliau tamat Perkhidmatan Negara (NS) dan bekerja sebagai jurujual produk penggilap kereta.
“Saya dapati saya sebenarnya seronok bercakap dengan orang yang tidak dikenali – ia datang secara semula jadi.
“Kebetulan, saya bertemu dengan seorang ejen hartanah semasa cuba menjual produk kepada beliau.
“Katanya, ‘Kalau awak boleh jual botol ini pada harga $50, kenapa tidak jual sesuatu yang lebih besar’?” kongsinya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Kata-kata itu membangkitkan semangat baru dalam diri Encik Muhammad Rizqin untuk meneroka bidang hartanah secara lebih mendalam.
Selepas membuat penyelidikan, beliau mendapati bidang hartanah adalah laluan yang ingin diceburinya.
Namun, minatnya bukan sekadar menjual rumah, malah menyampaikan kisah-kisah tersirat di sebalik setiap rumah yang dijual.
Menggunakan wadah media sosial TikTok, beliau bukan sahaja berkongsi kisah rumah-rumah yang diwakilinya, malah kisah-kisah menarik pemilik atau penyewa hartanah tersebut.
Jumlah penyokongnya juga kian bertambah dengan beliau kini menarik lebih 4,500 pengikut.
Antara kisah yang dikongsinya adalah mengenai seorang pemilik kedai runcit yang bersara dan kini menyewakan premisnya.
Encik Muhammad Rizqin berkongsi betapa wanita itu cukup emosi apabila bercerita tentang kedainya.
“Apabila beliau berkongsi kisahnya, beliau menangis kerana sedih perlu melepaskan tempat itu,” jelasnya.
Bagi Encik Muhammad Rizqin, penyampaian cerita di TikTok itu sama pentingnya dengan kandungan video yang dimuatnaikkan.
Justeru, mutu video menjadi keutamaannya.
“Sebaik sahaja skrip siap, saya dah tahu rakaman video apa yang perlu diambil, jadi proses rakamannya ambil masa kira-kira sejam.
“Tapi proses suntingan boleh makan masa antara tiga dengan empat jam, hanya untuk video seminit,” katanya.
Beliau berkongsi proses itu kerana ramai mungkin menganggapnya sebagai kerja yang rumit.
“Tapi saya betul-betul minat. Apabila saya menyunting, saya rasa seperti berada dalam aliran pemikiran yang begitu menghayati apa yang saya lakukan atau flow state, benar-benar fokus dan seronok.”
“Pada masa yang sama, ia juga adalah strategi pemasaran. Ramai yang hubungi saya untuk buat janji temu melihat rumah, malah ada yang terus buat tawaran – semuanya melalui video,” ceritanya.
Usahanya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjual rumah pertama hanya empat bulan selepas membuat pengumuman besar di TikTok tentang matlamatnya untuk menjana pendapatan $100,000 setahun.
Namun, jalan itu bukan tanpa cabaran – antara yang paling ketara ialah persepsi masyarakat.
“Jenama saya berkait rapat dengan identiti sebagai pelajar universiti dan juga ejen hartanah. Ramai yang keliru – sama ada saya ejen sepenuh masa atau sambilan.
“Ia agak mencabar kerana dalam bidang ini, saya berurusan dengan rumah orang dan jumlah wang yang besar – tanggungjawabnya amat besar.
“Jadi bila orang tanya, saya jawab – saya ejen hartanah sepenuh masa dan juga pelajar sepenuh masa. Saya komited pada kedua-duanya,” jelasnya.
Memandang ke hadapan, matlamat utama Encik Muhammad Rizqin adalah untuk membalas jasa ibu bapanya dengan membantu mereka bersara lebih awal.
Ibunya, Cik Rohaine Ismail, 53 tahun, seorang pegawai pentadbiran, manakala bapanya Encik Adam Sapuan, 57 tahun, seorang pemandu sambilan kereta sewa Grab.
Ibu bapanya menjadi tunjang semangatnya, terutamanya apabila beliau mencatatkan jualan pertama.
Mereka meraikannya dengan memberinya belon dengan rekaan ‘Nombor Satu’.
“Matlamat saya sebelum mencecah umur 30 tahun ialah melihat ibu bapa saya selesa meniti usia persaraan dan tidak perlu bekerja lagi, berkat hasil pendapatan saya sebagai ejen hartanah.
“Jadi, ini dalam jangka masa enam tahun lagi. Sama ada lebih awal atau lambat sedikit, itu arah tuju yang saya sedang usahakan,” ujarnya.
Menurutnya, beliau juga meneladani semangat juang ayahnya, yang bertarung melawan barah limfoma tahap 4, bahkan telah berhenti kerja sebagai jurutera dan kini memandu Grab secara sambilan.
“Bapa saya tidak memandu secara sepenuh masa kerana perlu menjaga tahap tenaganya dan mengelakkan keletihan.
“Setiap kali beliau sihat dan tidak berasa letih, barulah beliau akan mengambil peluang memandu Grab.
“Bapa adalah inspirasi saya,” tambahnya.
“
“Saya dapati saya sebenarnya seronok bercakap dengan orang yang tidak dikenali – ia datang secara semula jadi. Kebetulan, saya bertemu dengan seorang ejen hartanah semasa cuba menjual produk kepada beliau. Katanya, ‘Kalau awak boleh jual botol ini pada harga $50, kenapa tidak jual sesuatu yang lebih besar’?”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg